Translate

Saturday, January 16, 2021

Jangan jadi fenomena ombak besar sebagai pesta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Polis kesal dengan sikap segelintir orang ramai yang sanggup merisikokan diri untuk mendekati Pantai Seberang Takir di sini semata-mata untuk melihat fenomema ombak besar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, fenomena ombak besar yang berlaku sejak Khamis lalu bukanlah pesta tetapi sangat berbahaya untuk keselamatan awam.

Ujarnya, ombak besar disebabkan fenomena air pasang besar tersebut telah membawa sisa sampah, kayu, batu kecil dan pasir yang melimpah sehingga ke jalan raya.

“Saya nasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan fenomena ini sebagai pesta, keluar beramai-ramai untuk melihat ombak besar kerana ia boleh membahayakan diri mereka.

“Polis akan mengambil langkah dengan membuat pemantauan dan rondaan di kawasan (Pantai Seberang Takir) ini selama 24 jam sehingga cuaca reda,” katanya ketika melakukan pemantauan di lokasi tersebut di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun terhadap individu yang masih berdegil menghampiri Pantai Seberang Takir berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menutup kesemua laluan di pesisir Pantai Seberang Takir dari Jambatan Angkat Kuala Terengganu sehingga Bulatan Teluk Ketapang di sini sehingga esok. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment