Translate

Monday, January 25, 2021

Haiwan ancam pengguna LPT2

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KUALA TERENGGANU – Kes kemalangan yang berpunca daripada haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau serta binatang liar melintas di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) bukanlah isu baharu. 

Masalah itu sudah berlarutan sejak lebuh raya sepanjang 184 kilometer itu dibuka pada tahun 2015 ekoran sikap segelintir penternak haiwan dan individu tertentu yang sengaja merosakkan pagar yang dibina di laluan berkenaan. 

Ramai pengguna menjadi mangsa termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid. 

Kenderaan rasmi Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu telah terlanggar seekor lembu berhampiran susur keluar Plaza Tol Bukit Besi, Dungun ketika melalui LPT2 pukul 1 pagi, 9 April tahun lalu.

 Kes terbaharu pada Jumaat lalu, apabila dua buah kereta remuk selepas merempuh sembilan ekor lembu yang melintas LPT2 di Kilometer 291.1 berhampiran Kijal, Kemanan pukul 8.30 malam.

 Insiden itu mengakibatkan kesemua haiwan itu mati bergelimpangan, namun kedua-dua pemandu kereta tidak cedera. 

Seorang pengguna, Yusof Mohd. Ali, 41, berkata, dia hampir trauma untuk menggunakan LPT2 setelah dua kali terlibat dalam kemalangan di lebuh raya tersebut. 

Menurutnya, kedua-dua kejadian tersebut berlaku berhampiran Plaza Tol Telemong, Hulu Terengganu pada tahun 2019 dan tahun lalu. 

“Dalam kejadian pertama, kereta Honda Civic yang dipandu saya hampir melanggar seekor kerbau pada tahun 2019, namun bernasib baik apabila sempat mengelak. 

“Begitupun, saya tidak bernasib baik apabila kereta Honda City yang dipandu saya pula dirempuh seekor lembu berhampiran lokasi sama pada awal tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Yusof yang juga kakitangan swasta berkata, kemalangan kedua tersebut menyebabkan bahagian hadapan keretanya remuk dan kos membaiki menelan belanja hampir RM10,000. 

“Pengalaman ini membuat saya seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada melalui LPT2 kecuali terpaksa. 

“Saya lebih senang menggunakan jalan pantai iaitu Jalan Kuala Terengganu-Kuantan jika mempunyai urusan,” katanya yang menetap di Bukit Depu di sini. 

Berdasarkan laporan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak 102 kes kemalangan melibatkan binatang termasuk haiwan ternakan dilaporkan berlaku di LPT2 dengan 60 peratus daripadanya melibatkan kerosakan dan kecederaan.


No comments:

Post a Comment