Translate

Wednesday, January 27, 2021

Cemas kapal pengangkut pekerja dihanyut ombak


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 10 orang termasuk tujuh kru kapal cemas selepas kapal pengangkut pekerja dinaiki mereka tiba-tiba mengalami kerosakan teknikal sebelum dihanyut arus laut berhampiran muara Sungai Terengganu hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, kesemua mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an termasuk dua warga asing terselamat kerana sempat melompat ke kawasan batuan benteng penahan ombak.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, kejadian berlaku sewaktu kapal pengangkut pekerja tersebut yang baru tiba dari Miri, Sarawak pada kelmarin sedang dalam sesi pengujian di laut.

“Kapal pengangkut yang disewa sebuah syarikat pembekalan pekerja pelantar minyak sedang diuji tiga wakil syarikat berkenaan di sekitar muara Sungai Terengganu bermula pukul 9.30 pagi.

“Sewaktu memasuki muara Sungai Terengganu untuk pulang semula ke jeti Pulau Duyong, kapal pengangkut pekerja tersebut tiba-tiba mengalami masalah teknikal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, kapal pengangkut pekerja itu kemudiannya hanyut sejauh beberapa meter menghala ke benteng penahan ombak berdekatan.

Beliau berkata, semua 10 mangsa berkenaan terselamat kecuali seorang terseliuh pada bahagian kaki kiri kerana terhempas ke bahagian batu sewaktu cuba menyelamatkan diri. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment