Translate

Sunday, January 17, 2021

Air laut limpahi jalan Pantai Seberang Takir

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Fenomena air pasang besar yang membawa ombak sehingga 2.7 meter melanda melanda kebanyakan kawasan pesisir pantai di seluruh Terengganu menjelang detik 12 tengah malam tadi.

Ombak tinggi tersebut menyebabkan air laut melimpahi sebahagian jalan raya dan perkampungan berhampiran pantai di Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman bermula pukul 9 malam semalam.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, antara kawasan yang terjejas teruk ialah Pantai Seberang Takir yang terletak berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini.

“Limpahan air laut membawa banyak sisa sampah, batu kecil dan lumpur ke jalan raya sehingga kesesakan lalu lintas yang teruk.

“Begitupun, tiada musibah dalam kalangan pengguna dan kerosakan struktur jalan dilaporkan setakat ini,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, pihak polis telah mengambil tindakan pantas menutup sebahagian laluan masuk dan keluar ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu sejurus kejadian tersebut.

Tambah beliau, fenomena ombak tinggi dan angin kencang di kawasan sekitar Pantai Seberang Takir berkenaan dijangka akan berlarutan sekurang-kurang sehingga esok.

“Sehubungan itu saya meminta agar orang ramai menghindari kawasan tersebut terutama pada waktu air pasang,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment