Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Bhd. (TDM) menjalin usaha sama dengan organisasi perkhidmatan professional, Ernst & Young PLT (E&Y) dalam memperkasa modal insan anak Terengganu khususnya dalam bidang perakaunan dan pengauditan.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, kerjasama antara anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dan E&Y melibatkan dua program latihan seperti perakaunan profesional dan peminjaman kakitangan.
“Kedua-dua program pembangunan modal insan itu bertujuan menyediakan platform bagi menyerlahkan potensi graduan perakaunan negeri ini selain memperkasa lagi tenaga kerja perakaunan profesional TDM.
“Mereka yang terpilih termasuk kakitangan TDM akan menjalani pembelajaran sambil be kerja dengan E&Y yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang pengauditan dan percukaian,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Najman mewakili TDM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Rakan Kongsi E&Y, Datuk Megat Shah Iskandar Mohamad Nor dalam majlis disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Zahari Md. Azahar.
Najman berkata, kakitangan TDM yang bakal terlibat dalam program Peminjaman Kakitangan akan dilatih selama enam bulan di E&Y.
Tambah beliau, pelatih program Kelayakan Perakaunan Profesional dalam graduan perakaunan terpilih Terengganu pula akan menjalani latihan selama dua tahun bersama organisasi sama.
“Pelatih program Kelayakan Perakaunan Profesional itu berpeluang menerima tawara kerja bersama E&Y selepas itu mengikut terma kontrak ditetapkan.
“Semoga kerjasama ini menjadi platform mengasah bakat kemahiran kakitangan TDM dan graduan perakaunan Terengganu merapatkan jurang kemahiran dan kekurangan tenaga kerja,” katanya.
No comments:
Post a Comment