HULU TERENGGANU – Seorang lelaki tidak menyangka hobinya memikat burung sejak empat tahun lalu kini menjadi sumber pendapatan lumayan kepadanya.
Mohd. Nor Aziz, 43, yang bekerja kampung berkata, sarung perangkap burung atau lebih dikenali sebagai jebak yang dibuatnya menjadi perhatian ramai sehingga mendapat banyak tempahan sehingga ke seluruh negara.
“Pada mulanya saya meminta isteri menjahit sarung jebak untuk kegunaan sendiri. Rakan-rakan yang juga peminat burung tertarik dan mahu saya membuatnya untuk mereka juga.
“Permintaan terhadap sarung jebak semakin meningkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan promosi mulut ke mulut dan laman sosial Facebook,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Pantai Ali di sini semalam.
Mohd. Nor berkata, dia menerima kira-kira 300 tempahan membuat sarung jebak yang berharga RM25 setiap satu sejak
pelaksanaan PKP pada bulan Mac lalu.
Dia berkata, sarung jebak itu itu dijahit sendiri oleh isterinya, Nor Afida Akma Mohamad, 43, yang mampu menyiapkan
empat pasang sehari.
“Sarung jebak itu diperbuat dengan kain seperti pakaian tentera lama yang dibeli menerusi platform e-dagangan.
“Saiz sarung itu berbeza-beza mengikut jebak yang diberikan pemiliknya. Biasanya peminat burung dari sekitar Terengganu datang ke rumah saya untuk tujuan ukuran,” katanya.
Mohd. Nor yang juga bapa kepada tiga anak berkata, dia turut menjual jebak burung pada harga RM250 sebuah selain
burung merbok terlatih berharga antara RM200 hingga RM1,000.
Tambah beliau, dia mula jatuh cinta kepada burung selepas membeli seekor burung merbok daripada seorang rakannya
yang juga pemandu lori yang kesempitan wang empat tahun lalu.
“Lama-lama saya mula mengikut peminat burung lain ke dalam hutan memikat burung di sekitar Terengganu, belajar buat jebak dan melatih burung.
“Isteri saya yang pada mulanya tidak gemar dengan hobi (memikat burung) ini kini menggalakkan pula kerana ia mampu menghasilkan pendapatan kepada kami,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment