Translate

Sunday, January 17, 2021

Dalang sebenar bakal didakwa minggu depan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sebuah lagi syarikat pembekal daging dijangka akan dihadapkan di mahkamah pada minggu depan atas dakwaan membungkus semula daging dengan logo pengesahan halal palsu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, syarikat yang beralamat di Johor itu merupakan dalang sebenar kegiatan pembungkusan semula daging dengan logo pengesahan halal palsu berkenaan.

“Sebenarnya, syarikat (Raihanah Cold Storage Sdn. Bhd.) yang didakwa di mahkamah semalam atas dakwaan mengangkut bungkusan daging terbabit menggunakan lori milik mereka yang tidak memiliki persijilan halal.

“Syarikat pembekal bungkusan daging yang dipek semula dengan logo pengesahan halal palsu pula akan didakwa pada masa terdekat, mungkin minggu depan mengikut Pejabat Pendakwa Raya,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bank Makanan kepada mangsa banjir di Kampung Lubuk Periuk, Ajil di sini hari ini.

Rosol menjelaskan pendakwaan terhadap dalang sebenar sindiket pembungkusan semula daging dengan logo pengesahan halal tersebut tidak dapat dilakukan segera bagi menunggu keputusan ujian makmal terhadap produk berkenaan.

Beliau berkata, keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap sampel daging yang dirampas itu penting untuk melengkapkan kertas siasatan bagi melakukan pertuduhan di mahkamah

“Saya difahamkan keputusan ujian makmal telah diawalkan dua minggu berbanding sebulan kebiasaannya kerana memahami isu tersebut telah menimbulkan kegusaran terhadap rakyat,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan sebuah syarikat pembekal daging, Raihanah Cold Storage dan dua pengarahnya dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui pihak berkuasa. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment