Translate

Friday, January 15, 2021

PATI Bangladesh cuba rasuah pegawai JIM dipenjara setahun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh binaan Bangladesh yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) menangis sebaik dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua kesalahan cuba merasuah pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada tiga bulan lalu.

Hakim Jamaludin Mat memutuskan hukuman demikian selepas tertuduh, Mahbub Alam, 27, mengaku bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan dalam bahasa Bengali.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang diserbu dalam operasi membanteras PATI cuba merasuah seorang pegawai Imigresen sebanyak RM1,170 sebagai dorongan untuk melepaskan diri daripada kesalahan menyalah guna pas lawatan kerja sementara.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di tapak projek pembinaan Hospital Kemaman, Kijal, Kemaman pada pukul 12 tengah hari, 25 Oktober lalu.

Mengikut fakta, Mahbub yang bekerja sebagai buruh binaan telah melarikan diri apabila tapak projek Hospital Kemaman berkenaan diserbu sepasukan penguat kuasa JIM sebelum menawarkan rasuah tersebut.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Kosmo! Online 16 November lalu melaporkan pertuduhan terhadap Mahbub yang mendakwa tidak fasih bahasa Melayu dan Inggeris terpaksa ditunda berikutan ketiadaan jurubahasa Bengali. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment