Translate

Saturday, January 16, 2021

Pegawai bomba didakwa kemuka tuntutan palsu RM16,344


KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai kanan bomba dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM16,344 bagi penyediaan makanan pada empat tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Rasydan Ismail yang berpangkat Penguat Kuasa Kanan Bomba mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dituduh menyerahkan dokumen palsu berupa invois berjumlah RM6,480
ke Bahagian Kewangan, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Marang pada Jun 2018.

Dia dituduh memperdaya penolong akauntan bahagian terlibat kerana tuntutan berhubung pembekalan makan dan minum bagi peserta Bengkel Perancangan dan Persediaan Kawat Kecekapan yang berlangsung pada 6 hingga 8 Mei 2018 itu tidak pernah dilaksanakan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Muhammad Rasydan dituduh mengemukakan satu lagi tuntutan palsu berjumlah RM9,864 kepada pegawai bahagian sama pada Disember 2017.

Tertuduh dituduh mengemukakan invois palsu berhubung penyediaan makanan dan minuman untuk peserta Bengkel Pengurusan Operasi Banjir yang sebenarnya tidak wujud.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga RM20,00 dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment