Translate

Thursday, January 14, 2021

Banjir Terengganu pulih sepenuhnya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang kelima di Terengganu sejak 3 Januari lalu pulih sepenuhnya hari ini.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, kesemua 17 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kemaman dan Dungun sebelum ini ditutup sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari.

“Kesemua 3,956 mangsa daripads 976 keluarga yang ditempatkan di PPS di kedua-dua daerah berkenaan pada pagi tadi telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Mereka yang mula membersihkan rumah dinasihatkan agar berwaspada daripada ancaman litar pintas dan haiwan berbisa yang berkemungkinan berlaku pada pasca banjir ini,” katanya di sini hari ini.

Che Adam berkata, walaupun banjir gelombang kelima sudah berakhir tetapi pihaknya tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan monsun Timur Laut cuma berakhir pada bulan Mac.

Tambah beliau, Jabatan Meterologi Malaysia masih mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di pesisir pantai negeri ini sehingga Khamis ini.

“Orang ramai dinasihat agar menghindari kawasan pantai sepanjang tempoh tersebut agar mengelakkan sebarang perkara tidak diingini,” katanya.

Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu telah menjejaskan lebih 12,000 penduduk di lima daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment