Oleh MOHD AZLI ADLAN
KITA dikejutkan dengan tragedi menimpa Allahyarham Naim Hariri Kamaruddin yang terkorban akibat lemas di Pantai Kelulut, Marang, Terengganu pada 25 Disember lalu.
Insiden menimpa jurufisioterapi berasal dari Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur itu berlaku kira-kira 16 jam sebelum dia bakal diijabkabulkan dengan pilihan hati, Farah Nabilah Huda Ismail,27.
Sewaktu kejadian, Naim Hariri yang juga anak saudara Ratu Pop Etnik, Noraniza Idris dikatakan telah ditarik ombak ketika sedang mandi di Pantai Kelulut terletak berhampiran dengan sebuah chalet penginapan ahli keluarganya.
Senario yang meragut nyawa jejaka berusia 31 tahun tersebut dikenali dengan istilah arus karau atau dalam bahasa Inggeris disebut rip current.Fenomena arus karau merupakan perangkap maut kepada pengunjung yang mandi-manda di pantai terutama pada musim tengkujuh dan Naim Hariri bukanlah satu-satunya yang pernah menjadi korbannya.
Hampir setiap tahun terutama pada musim tengkujuh, pasti direkodkan kes lemas disebabkan fenomena arus karau di pesisir pantai Terengganu.
Satu lagi kes lemas disebabkan fenomena arus karau yang menyayat hati pernah berlaku di Pantai Teluk Lipat, Dungun mengorbankan tiga beradik perempuan, Nurain Salsabila Zawawi, 6, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Fatma secara serentak pada 30 Disember 2018.
Kejadian pada pukul 6.45 petang itu terjadi ketika ketiga-tiga beradik itu bersiar-siar bersama ibu saudara di gigi pantai sebelum ditarik ombak ke tengah laut.Sementara itu, Rosmaria Mohd. Nordin, 35, menceritakan pernah berhadapan pengalaman ngeri hampir ditarik ombak ke tengah laut disebabkan arus karau ketika bersiarsiar di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus beberapa tahun lalu.
Kakitangan swasta tersebut memberitahu, sewaktu itu, dia berdiri di gigi pantai sebelum meminta rakannya merakamkan fotonya.
“Ombak besar datang secara tibatiba ketika saya ralit membetulkan postur tubuh untuk bergambar. Ia seolah-olah mahu menarik saya jauh ke laut. “Mujur kawan ambil tindakan pantas memegang tubuh saya daripada dihanyutkan arus. Sejak itu, baru saya sedar bahayanya ancaman arus karau,” ujarnya kepada Panorama baru-baru ini.
Apa itu arus karau?
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, secara teknikalnya, arus karau merupakan arus laut yang melalui saluran sempit di pesisir pantai sebelum bergerak semula menuju ke arah laut.Beliau memberitahu, antara faktor menyebabkan fenomena itu adalah permukaan pantai mempunyai sekurang-kurangnya dua beting pasir yang mengganggu pergerakan air dibawa ombak untuk kembali ke laut.
“Arus karau juga boleh terbentuk apabila ombak bergerak pada sudut tegak ke arah pantai sekali gus mencetuskan arus yang sejajar dengan pesisiran pantai.
“Ia menuju ke arah laut dengan kelajuan hingga lebih dua meter per saat bergantung kepada kekuatan dan kekerapan ombak, pasang surut air laut dan permukaan pantai,” katanya.
Effi Helmy menjelaskan, kehadiran arus karau boleh dikesan apabila terdapat bahagian permukaan air yang lebih tenang mengunjur dari gigi pantai ke laut berbanding kiri dan kanannya yang lebih berombak dan mempunyai buih-buih putih.
Tambahnya, pengunjung pantai sering beranggapan bahagian tenang itu sebagai selamat tetapi sebenarnya perangkap maut.
“Bahagian itu sebenarnya mempunyai arus karau yang akan menarik benda berhampiran termasuk yang mandi ke tengah laut.
“Mangsa lemas dibawa arus ke tengah laut biasanya panik dan cuba kembali berenang kembali ke pantai, namun akan kehabisan tenaga kerana kekuatan fenomena itu mengatasi keupayaan manusia,” ujarnya.
Effi Helmy berkata, arus karau boleh berlaku pada mana-mana pantai tetapi lebih cenderung di kawasan berombak tinggi sekurangkurangnya setengah meter.
Beliau berkata, fenomena air pasang besar juga boleh mencetuskan arus karau walaupun di pantai yang landai seperti Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu.
“Pengunjung tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti di pantai sewaktu berlaku fenomena air pasang besar yang mencetuskan arus karau biasanya berlaku pada hujung bulan.
“Saya mencadangkan pihak berkaitan memasang papan tanda jadual air pasang sebagai peringatan kepada pengunjung tentang ancaman arus karau,” katanya.
Effi Helmy memberitahu, pantai landai itu sebenarnya selamat untuk aktiviti air termasuk mandi-manda jika di luar fenomena air pasang besar kerana ketiadaan arus karau.
Ujarnya, ancaman arus karau bukan sahaja boleh berlaku di pantai-pantai di Terengganu seperti Pantai Pandak, Pantai Teluk Bidara dan Teluk Lipat, Dungun malah kebanyakan pantai peranginan lain yang mempunyai ciri-ciri berkenaan.
Memberi tip untuk menyelamatkan diri semasa berhadapan dengan arus karau, beliau memberitahu kunci utama adalah bertenang.
“Jangan cuba berenang melawan arus kerana ia menyebabkan kehilangan tenaga. Sebaliknya, cuba berenang ke bahagian kiri dan kanan yang tiada arus.
“Sesudah selamat di kawasan yang tidak ada arus, berenang pula mengikut arus menuju ke gigi pantai bagi menyelamatkan diri.“Sekiranya tiada tenaga untuk berenang, biarkan sahaja arus karau membawa diri hingga ke hujung atau bahagian kepala, sebelum masuk ke bahagian ombak yang menghala ke pantai.
No comments:
Post a Comment