Translate

Sunday, January 17, 2021

Rokok seludup RM2.5 juta dirampas di Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan percubaan sebuah sindiket yang cuba menyeludup 17,000 kartun rokok yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM2.5 juta di Tepoh, Kuala Nerus hari ini.

Rampasan melibatkan 340 kotak rokok terbabit merupakan terbesar di Terengganu sepanjang tahun ini.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Superintendan Mohd. Razlin Abdul Manaf berkata, lori membawa muatan rokok seludup berkenaan berjaya ditahan di tepi jalan Jalan Kampung Tepoh – Batu Rakit, Kuala Nerus pada pukul 8.15 pagi.

Beliau berkata, sebelum itu, lori berkenaan telah diekori kenderaan peronda PPM dari Kampung Gemuroh, Kuala Nerus.

“Lori itu berjaya dipintas tidak lama kemudian namun pemandu kenderaan tersebut berusia 30-an enggan berhenti sebaliknya memecut laju menghala ke Jalan Kampung Tepoh – Batu Rakit.

“Dia kemudiannya meninggalkan lorinya di tepi jalan selepas dikejar hampir 30 minit. Begitupun, niatnya untuk melarikan diri tidak kesampaian apabila berjaya diberkas tidak lama selepas itu,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga di sini hari ini.

Mohd. Razlin berkata, siasatan awal percaya rokok yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran itu dalam perjalanan untuk dihantar bagi pasaran bandar raya ini dan Dungun. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment