Translate

Monday, April 30, 2018

PKR tempang tanpa Pas di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SERAMAI 140 calon daripada tiga parti politik disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing menampilkan 40 calon bagi merebut lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN di negeri Pantai Timur terbabit.

Tiada seorang pun calon bebas yang menawarkan diri untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen dan DUN Terengganu kelmarin.

Antara yang menarik perhatian pada hari penamaan calon di Terengganu kelmarin ialah kesemua 40 calon PKR ha­dir ke lapan pusat penamaan calon dari Besut hingga Kemaman dengan diiringi penyokong yang terlalu sedikit.

Misalnya, calon PKR bagi Parlimen Marang dan empat DUN iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payong dan Alor Limbat hanya di­iringi kira-kira 30 penyokong sewaktu memasuki Pejabat Pejabat Tanah dan Daerah Marang yang merupakan pusat penamaan calon parlimen berkenaan bagi menghantar borang pencalonan.

Senario itu mengundang senyuman sinis ahli Pas termasuk Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang yang bertanding di Parlimen Marang dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mana tidaknya, ia kontra dengan kehadiran ribuan penyokong BN dan Pas di situ bagi memberi sokongan padu kepada calon parti masing-masing.

Kehambaran kehadiran penyokong pembangkang itu tidak jauh berbeza di tujuh pusat penamaan calon lain di seluruh Terengganu termasuk di lokasi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Razali Idris yang merupakan calon PKR bagi Parlimen Hulu Terengganu.

Paling ramai pun, kira-kira 100 penyokong mengiringi calon-calon PKR Parlimen dan DUN Kuala Terengganu termasuk Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad dan Azan Ismail yang merupakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi gabu­ngan pembangkang itu di peringkat negeri.

Ia seakan-akan mengesahkan dakwaan Pas sebelum ini yang mengatakan kekuatan jentera parti pembangkang lain tidaklah sehebat mana sehinggakan terpaksa ditampung oleh jentera pilihan raya Pas bagi memastikan kemenangan mereka pada PRU-13.

Kekurangan bendera PKR di seluruh Terengganu sejak Parlimen dibubarkan pada awal bulan ini juga bagaikan me­nyerlahkan kekerdilan jentera parti PKR, PPBM dan Amanah di negeri ini.

Mengulas isu tersebut, Azan mengakui jentera PKR negeri tidaklah sehebat BN mahupun Pas tetapi dakwanya, ia bukan indikator parti pembangkang tersebut akan ‘bungkus awal’ di Terengganu pada PRU-14.

“Senario PRU-14 tidak sama dengan PRU-12 mahupun PRU-13. Saya percaya mood pengundi berbeza dan berharap mereka dapat memberikan undi protes buat kami bagi membentuk kerajaan,” kata calon PKR bagi DUN Bandar tersebut kepada Kosmo! baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment