Translate

Thursday, April 5, 2018

Buku hasil kreatif pelajar UMT

KEJAYAAN program Jom Deko Kolej Siswa yang mengubah landskap kolej kediaman pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memberi ilham kepada penghasilan buku Momentum Kreativiti Tanpa Sempadan yang dilancarkan baru-baru ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, buku dalam bentuk meja kopi itu memaparkan foto-foto hasil kreatif merangkumi seni mural, sulaman dan arca yang menceriakan dinding dan persekitaran kolej kediaman pelajar terbabit.

“Idea penghasilan buku ini bermula daripada program Jom Deko Kolej Siswa yang bertujuan untuk menghias dan menceriakan kolej kediaman UMT yang dihuni kira-kira 4,000 pelajar.

“Projek selama hampir dua tahun yang siap sepenuhnya pada tahun lalu itu melibatkan 500 pelajar tempatan dan juga antarabangsa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyaksikan pelancaran buku Momentum Kreativiti Tanpa Sempadan yang disempurnakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong di kampus UMT, Kuala Nerus, Terengganu.

Nor Aieni berkata, buku setebal 39 muka surat penuh warna-warni itu turut mengandungi puisi, pantun dan gurindam tentang suka duka kehidupan di kolej kediaman hasil nukilan pelajar UMT sendiri.

Menurut beliau, buku itu juga merupakan medium perkongsian maklumat untuk memberi pendedahan kepada masyarakat dan pemain industri berkaitan bakat dan kemahiran dimiliki pelajar UMT.

“Berdasarkan hasil kerja yang dipamerkan, pelajar-pelajar yang terlibat dalam program Jom Deko Kolej Siswa ini memang berbakat tinggi dalam penghasilan seni mural, arca dan sulaman.

“Sayang jika tidak diketengahkan. Sehubungan itu, penghasilan buku ini bakal menjadi medium perkongsian maklumat tentang bakat dan kemahiran unik serta pengalaman berharga pelajar UMT untuk makluman masyarakat dan pelanggan berpotensi,” ujar beliau.

Ubah paradigma

Nor Aieni menambah, ia juga sebagai strategi untuk mengubah paradigma mahasiswa untuk menjana pekerjaan dalam bidang seni kreatif seperti pelukis mural, konsultan, pengendali peralatan teknikal mural dan pereka grafik.

Ujar beliau, inisiatif tersebut selaras dengan misi pembangunan kampus lestari seperti direncanakan dalam Pelan Strategik UMT 2013-2017.

Mengulas tentang program Jom Deko Kolej Siswa, Nor Aieni berkata, pelaksanaannya bermula pada tahun 2015 bertitik-tolak daripada segelintir pelajar UMT yang gemar meluahkan perasaan dengan melukis grafiti pada dinding kolej kediaman terbabit.

Beliau berkata, walaupun perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai vandalisme namun pengurusan UMT cuba melihat dari perspektif berbeza dengan menganggapnya sebagai daya kreativiti pelajar yang boleh dikembangkan jika dipandu pada saluran betul.

“Lukisan dinding yang berkesan bukan sahaja menjadi medium curahan kreativiti dan emosi seseorang malah mampu mengindahkan, menceriakan dan meningkatkan motivasi seseorang.

“Suasana pembelajaran bagi institusi pengajian tinggi seperti UMT ini pasti akan lebih menarik dengan berlatarbelakangkan mural, arca dan sulaman berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zubir berkata, penghasilan buku Momentum Kreativiti Tanpa Sempadan terbabit merupakan testimoni kepada bakat terpendam yang dimiliki pelajar-pelajar UMT.

“Kemampuan menghasilkan mural dan arca terbabit boleh dikomersialkan untuk menghiasi premis swasta dan persendirian.

“Kita juga sememangnya memerlukan ramai bakat muda dalam usaha mengindahkan negeri ini termasuk bandar raya Kuala Terengganu dengan idea kreatif masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment