Translate

Wednesday, April 18, 2018

Papar kejayaan anak Terengganu

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) Terengganu mula memasang seba­nyak 72 papan iklan yang memaparkan 144 kisah kejayaan utama kerajaan ne­geri sepanjang tempoh lima tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di lokasi-lokasi strategik sekitar bandar raya ini.

Kisah kejayaan menerusi papan iklan tersebut meliputi bidang sosial dan keagamaan, ekonomi, keusahawanan, sukan, pendidikan dan pemba­ngunan fizikal merupakan testimoni BN Terengganu untuk terus menerima kepercayaan rakyat negeri itu pada PRU-14.

Ia termasuklah 14 cerita kejayaan anak-anak kelahiran Terengganu pada peringkat nasional dan antarabangsa sebagai mengiktiraf kehebatan dan semangat juang mereka.

Antara cerita kejayaan anak jati Terengganu itu ialah kejayaan pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin, 51, menawan tujuh puncak Banjaran Himalaya, Asia Tengah yang setiap satu mempunyai ketinggiannya melebihi 5,000 meter dari aras laut pada tahun lalu.

Pencapaian jurufoto Utusan tersebut dalam Cabaran Himalaya dari 26 April hingga 14 Mei 2017 membolehkan beliau menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Anak jati Kuala Nerus tersebut diiktiraf sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya menawan kesemua tujuh puncak banjaran tertinggi di dunia.

Papan iklan yang memaparkan kejayaan Mohd. Noor di Jalan Kuala Berang berhampiran persimpanan masuk Pengadang Baru di sini menarik perhatian orang ramai yang melalui laluan utama tersebut.

Sebelum ini, 144 kisah kejayaan utama kerajaan ne­geri Terengganu berkenaan telah dipamerkan pada Ekspo Terengganu yang diadakan di Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus pada 23 Februari hingga 4 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment