Translate

Sunday, April 1, 2018

Sama seperti menaiki bas di atas jalan raya

RAUT wajah Norharizan Hassan, 40, pucat lesi sambil mulutnya terkumat-kamit membaca doa menaiki kenderaan sewaktu bas dinaikinya meluncur laju menuruni Jeti Losong Feri, Kuala Terengganu, Terengganu.
Debarannya semakin memuncak sebaik bas tersebut mula mencecah air Sungai Terengganu yang mempunyai kedalaman kira-kira 10 meter.

Ironinya, pemandu bas berbangsa Eropah itu kelihatan tenang mengawal stereng sambil sempat sesekali melemparkan senyuman.

Jejari Stephen Morrison Smith kelihatan menekan punat jet marin berkembar yang berada pada papan pemuka bas berwarna putih berkenaan.

Sepanjang perjalanan kira-kira 45 minit, bas amphicoach atau dua alam yang mampu beroperasi di darat dan air itu jelas bergerak lancar pada permukaan Sungai Terengganu.

Panorama yang indah berlatarbelakangkan Masjid Kristal yang terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu membuatkan perasaan Norharizan yang cuak seketika bertukar menjadi teruja dan bangga.

Wartawan portal Terengganu News itu merupakan salah seorang daripada 47 penumpang sewaktu bas amfibia buatan Malta tersebut yang menjalani sesi pandu uji sulung pada 21 Februari lalu.

Selain beliau, penumpang lain yang turut menaiki bas tersebut terdiri daripada pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Laut, Jabatan Pelancongan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya akui sewaktu diminta untuk menaiki bas Amphicoach bagi membuat liputan sesi pandu uji tersebut, perasaan agak bercampur baur. Pada mulanya, cuak dan sangsi tentang kemampuannya beroperasi di dalam air.

“Begitupun, sangkaan saya terbukti salah. Badan bas langsung tidak bergegar dan saya berasa seperti menaiki bas di jalan raya sepanjang perjalanan walaupun ia merentasi Sungai Terengganu yang agak beralun dan berombak,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menceritakan lebih lanjut pengalamannya, Norharizan memberitahu, sepanjang 45 minit bas amfibia itu berada di dalam air, dua kali pintu bas telah dibuka sebagai salah satu elemen pengujian namun tiada setitik air Sungai Terengganu pun yang terpercik masuk ke dalam kenderaan tersebut.

Ujarnya, sebelum memasuki sungai terbabit, Morrison Smith yang juga Pengurus Besar Ultimate Technology Limited iaitu syarikat pengeluar tunggal bas dua alam tersebut turut menguji ketahanan sistem waterjet dan penghembus (blower) di tebing Sungai Terengganu.

Negara kedua
“Kami (penumpang bas) juga telah diminta oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memakai jaket keselamatan sewaktu sesi pandu uji tersebut.

“Begitupun, mengikut Morrison Smith, pemakaian jaket keselamatan bukan prosedur operasi standard yang diamalkan di enam negara lain yang terlebih dahulu menggunakan bas Amphicoach,” jelasnya.

Norharizan memberitahu, pengeluar bas amfibia itu menegaskan setakat ini, kesemua 12 bas Amphicoach yang telah beroperasi belum pernah mengalami sebarang kemalangan sewaktu beroperasi di dalam air sama ada sungai dan laut.

Bas Amphicoach sepanjang 12 meter itu merupakan ke-13 di dunia dan pertama di negara ini.
Malaysia merupakan negara kedua yang memiliki bas dua alam itu di benua Asia selepas Jepun. Difahamkan, negara Matahari Terbit itu menempah kenderaan terbabit selepas bencana tsunami pada tahun 2011.
Bas Amphicoach buatan Ultimate Technology Limited yang lain kini beroperasi di Hamburg, Jerman; Rotterdam dan Amsterdam, Belanda; Stockholm, Sweden dan Budapest, Hungary.

Kerajaan Negeri Terengganu membeli sebuah bas Amphicoach berkenaan pada harga 600,000 euro (RM3 juta).

Idea asal pembelian bas dua alam tersebut diilhamkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Mac 2014.

Potensi
Ia bertitik-tolak daripada bencana banjir besar yang menenggelamkan sebahagian besar daerah Kemaman pada penghujung tahun 2013.

Masalah logistik yang menyukarkan operasi menyelamat dan memindahkan kira-kira 60,000 mangsa banjir setelah kebanyakan kenderaan milik agensi penyelamat termasuk lori trak tidak mampu memasuki kawasan bencana memberi ilham kepada Ahmad tentang keperluan kepada Kerajaan Negeri Terengganu memiliki bas dua alam.

Selain melakukan kerja-kerja menyelamat pada musim tengkujuh, Ahmad juga menyedari potensi bas amfibia terbabit sebagai tarikan baharu pelancongan di negeri Pantai Timur terbabit.
Sementara itu, Morrison Smith berkata, Kerajaan Negeri Terengganu menempah bas Amphicoach yang berspesifikasi lebih tinggi berbanding kenderaan sama dikeluarkan syarikatnya sejak tahun 2010.

Bas Amphicoach Terengganu digerakkan oleh enjin jenis MAN 300 kuasa kuda dengan jet marin berkembar.

“Ia boleh membawa maksimum 47 penumpang pada satu-satu masa tidak termasuk pemandu dan seorang pembantu pemandu.

“Bas dua alam yang ditempah Kerajaan Negeri Terengganu ini boleh dipandu dengan kelajuan maksimum 110 kilometer sejam di daratan manakala di air pula, ia boleh mencapai enam knot sejam,” ujar lelaki kelahiran Glasgow, Scotland yang mengikut keluarga berhijrah ke Kepulauan Malta ketika berusia enam tahun tersebut.
Morrison Smith akan meluangkan masa di Kuala Terengganu pada masa terdekat untuk memberi latihan pengoperasian dan penyelenggaraan bas dua alam terbabit kepada warga tempatan.

Berdasarkan perancangannya, beberapa warga kelahiran Terengganu akan dilatih untuk menjadi kumpulan perintis pemandu bas Amphicoach berkenaan.

Difahamkan pemandu bas dua alam terbabit perlu memiliki kemahiran asas memandu bas awam dan bot.
Sehubungan itu, calon pemandu bas Amphicoach Terengganu perlu memiliki lesen memandu kenderaan awam (PSV) dan pengendalian bot masing-masing daripada JPJ dan Jabatan Laut.

Dalam pada itu, bas dua alam yang masih dalam proses pengujian tersebut menarik perhatian kira-kira 625,000 pengunjung apabila dipamerkan pada Ekspo Terengganu yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus.

Tidak sabar
Salah seorang pengunjung, Nadiana Saimun, 39, dari Pulau Musang, Kuala Terengganu berkata, dia dan suami, Mohd. Kamal Arifin Jais, 49, tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri bas Amphicoach yang julung-julung kali dipamerkan untuk khalayak pada ekspo yang diadakan pada 25 Februari hingga 4 Mac lalu.

“Kami suami isteri selaku rakyat Terengganu teruja apabila bas Amphicoach yang ditunggu-tunggu sejak tahun 2014 ini akhirnya tiba.

“Saya dan suami juga tidak sabar untuk melihat sendiri bas tersebut selepas video pengujiannya di Sungai Terengganu tular di media sosial baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Nurul Ainur Maznifa Mat Yusup, 20, dari Kampung Peroh, Hulu Terengganu pula memberitahu, dia berhasrat untuk menaiki bas Amphicoach menelusuri Sungai Terengganu apabila ia beroperasi kelak.

“Berapa pun tambangnya, saya sanggup untuk membayar. Ia pasti pengalaman yang menarik dan sukar dilupakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment