Translate

Sunday, April 15, 2018

Rekod perkhidmatan terbaik BN Terengganu jadi taruhan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah dibubarkan secara rasmi pada Isnin lalu dan mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dipulangkan semula kepada rakyat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman pastinya boleh menghela nafas lega seketika kerana sebelum ini beliau mengakui kuasa yang dimiliki untuk menerajui kerajaan negeri dengan mandat tipis iaitu 17 daripada keseluruhan 32 kerusi DUN bukannya mudah.

Kewibawaan Ahmad Razif teruji apabila kerajaan negeri yang diterajui beliau sejak 12 Mei 2014 kehilangan lebih RM1 bilion sumber pendapatan ekoran kejatuhan harga minyak di pasaran dunia.

“Banyak penjimatan dilakukan sejak tiga tahun ini tetapi ia tidak sesekali melibatkan kebajikan rakyat. Tiada satu sen bantuan dan insentif kepada rakyat negeri ini dikurangkan sebaliknya ditambah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dengan slogan Terengganu Molek Doh (Terengganu sudah bagus), kerajaan negeri di­terajui BN ditadbir berlandaskan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dan maqasid syariah.

Setiap rakyat Terengganu yang berjumlah kira-kira 1.25 juta orang menikmati bantuan dan insentif sejak dilahirkan sehingga ke akhir hayat

Bayi yang lahir di negeri ini menerima insentif RM100 dalam bentuk simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia dan jumlahnya bakal meningkat sehingga RM500 mengikut bilangan kelahiran dalam sesebuah keluarga.

Bantuan tidak terhenti setakat itu sahaja, belia kelahiran Terengganu berkelayakan yang hendak melangsungkan perkahwinan juga ditaja merangkumi persalinan pernikahan dan persandingan, upah kadi, majlis resepsi serta pakej bulan madu.

Sesudah berumah tangga, mereka juga berpeluang memiliki tanah untuk membina rumah yang boleh dipohon menerusi lapan pejabat tanah dan daerah di Terengganu.

Rakyat negeri itu yang ditimpa penyakit juga tidak dilupakan menerusi penubuhan Tabung Darul Iman yang memberi bantuan perubatan dan kewangan segera.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri yang diterajui beliau juga menyambung kesinambungan dasar-dasar menteri besar terdahulu.
Menurutnya, antara projek yang berjaya dipulihkan ialah Pusat Transformasi Bandar Kuala Terengganu, kawasan bebas cukai Tasik Kenyir serta pe­nerimaan bas Amphicoach untuk kegunaan menyelamat mangsa banjir dan pelancongan.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, rakyat negeri tersebut perlu melihat rekod perkhidmatan cemerlang BN yang menerajui kerajaan negeri dalam pertimbangan mereka pada hari pengundian PRU-14 pada 9 Mei depan.

Katanya, rakyat Terengganu yang pernah merasai pengalaman ditadbir Pas pada 1999 hingga 2004 pastinya boleh membuat perbandingan corak pemerintahan antara pembangkang dan BN.

“Saya optimis lebih banyak kejayaan mampu dicipta BN jika menerima mandat lebih besar pada PRU-14,” katanya.

No comments:

Post a Comment