Translate

Wednesday, April 18, 2018

Calon wanita di DUN Terengganu

KUALA NERUS – Barisan Nasional (BN) Terengganu akan menampilkan calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, calon wanita terbabit berkemungkinan besar akan bertanding di salah satu daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen negeri tersebut yang dimenangi pembangkang.

“Walaupun calon wanita itu diletakkan di kerusi yang dipertahankan pembangkang, kerusi berkenaan tidaklah sukar untuk dimenangi.

“Siapa, berapa dan di mana calon wanita terbabit akan bertanding di Terengganu ini biar­lah didedahkan pada hari pe­ngumuman calon BN negeri pada minggu depan,” katanya selepas menyampaikan Anugerah JKKK Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini semalam.

Pada majlis tersebut, JKKK Rawai, Marang dinobatkan sebagai johan keseluruhan sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM50,000 dan projek bernilai RM100,000.

Ahmad Razif berkata, pemilihan calon wanita untuk bertan­ding mewakili BN di Terengganu merupakan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah penilaian teliti dari segenap aspek dilakukan.

Menurut beliau, pihaknya juga percaya calon wanita terbabit dapat diterima dengan baik oleh pemimpin setempat dan soko­ngan akar umbi di kawasan ter­babit sekali gus membolehkan BN menang.

“Kita tidak mahu sebarang perbuatan ‘cah keting’ (sabotaj) berlaku lagi pada PRU-14 kali ini dan bersiap sedia dengan penubuhan pasukan penyelesaian krisis untuk menangani sebarang kemungkinan. Saya akui ada beberapa penyandang wakil rakyat BN terpaksa digugurkan untuk memberi laluan kepada muka baharu.

Kali terakhir BN Terengganu meletakkan calon wanita untuk bertanding adalah pada PRU-12 (2008) iaitu bekas Ketua Puteri UMNO negeri, Nordiana Shafie di DUN Batu Burok tetapi tewas kepada calon Pas.

No comments:

Post a Comment