Translate

Monday, April 9, 2018

Buruh mati lemas di Sungai Kejir

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Keriangan sekumpulan penduduk kampung mandi-manda berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas akibat dihanyutkan arus deras Sungai Kejir, Kuala Berang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.05 petang itu, Latif Yahya, 48, sedang mendukung anak saudara lelakinya yang berumur lima tahun menyeberang untuk ke tebing selepas mandi-manda di sebuah dataran pasir yang terletak di tengah-tengah sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Kuala Kejir, Kuala Berang di sini  membawa anak saudaranya, Mohd. Iman Sukri mandi di dataran pasir terbabit bersama beberapa rakan sekampungnya pada pukul 3.30 petang.

"Selepas puas mandi kira-kira setengah jam kemudian, mangsa yang merupakan seorang buruh telah kembali menyeberang sungai untuk kembali ke tebing sambil mendukung anak saudara lelakinya itu.

"Sewaktu menyeberang, dia tiba-tiba dihanyutkan arus deras sebelum kelibatnya tenggelam ke dalam sungai itu. Begitupun, anak saudaranya telah berjaya diselamatkan rakan-rakannya yang menyaksikan kejadian tersebut," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment