Translate

Thursday, April 19, 2018

TFCII enggan beri laluan mudah kepada Felda United

TERENGGANU FC II (TFCII) mengharapkan ketajaman pemain import Korea Selatan, Lee Jun-Hyeob untuk mengempur pendahulu liga  Felda United pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Pengendali TFCII, Mustaffa Kamal Abd. Wahab berkata, beliau mengakui persefahaman anak buahnya sedikit terjejas apabila tiga pemain tonggak termasuk penyerang utama, Bruno Junichi Suzuki diserap masuk untuk memperkuatkan pasukan 'abang', TFC1 baru-baru ini.

"Begitu pun, kemasukan beberapa pemain-pemain TFC1 termasuk Jun-Hyeob diyakini mampu memberi nafas baharu kepada pasukan ini.

"Saya juga berharap penyerang kelahiran Korea Selatan itu dapat membuktikan kemampuan sebenarnya dalam ujian pertama dia untuk membantu TFCII berhadapan Felda United malam esok (ini)," katanya.

Mustaffa Kamal berkata, beliau optimis penyerang import berusia 28 tahun itu mampu untuk menyerlah bersama kelab baharunya tersebut sekali gus menjadi duri dalam daging terhadap pasukan pelawat yang dikendalikan jurulatih berpengalaman, B. Sathianathan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, TFCII telah mengguna rehat panjang sebelum ini untuk membuat persiapan cukup rapi bagi menghadapi Felda United yang juga dikenali sebagai The Fighters.

"Kita sedar Felda United dibarisi pemain berkualiti dan satu-satunya pasukan dalam Liga Premier yang mengekalkan rekod kemenangan dalam semua lima aksi sebelum ini.

"Begitupun, ia tidak bermakna TFCII akan memberi laluan mudah kepada pasukan tersebut dan pastinya kami juga mahu menang di hadapan penyokong sendiri," katanya.

habis

No comments:

Post a Comment