Translate

Saturday, April 28, 2018

BN Terengganu kemuka calon mesra rakyat

DEMAM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) memasuki fasa baharu. Hari penamaan calon diadakan esok. Hari pe­ngundian berlangsung 9 Mei depan setelah 11 hari tempoh berkempen.

Di Terengganu, buat pertama kalinya, kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) di negeri tersebut bakal ditandingi sekurang-kurangnya secara tiga penjuru an­tara Barisan Nasional (BN), Pas dan gabungan parti pembangkang.

Gabungan parti pembangkang dianggotai Parti Kea­dilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Nasional (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Sebelum DUN Terengganu dibubarkan atas perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 9 April lalu, BN menjadi parti­ memerintah de­ngan 17 kerusi DUN manakala Pas yang menjadi pembangkang mempunyai 15 kerusi.

 Di Parlimen pula, BN menguasai empat kerusi iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman. Pas pula tiga kerusi iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. Amanah mempunyai satu kerusi di Kuala Terengganu setelah pe­nyandangnya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad melompat parti daripada Pas.

Mandat tipis tersebut dan faktor kewujudan dua parti baharu iaitu Amanah dan PPBM yang masing-masing merupakan serpihan UMNO dan Pas menjadikan kehangatan PRU-14 di Terengganu agak luar biasa.

Sepanjang minggu ini, BN, Pas dan gabungan parti pembangkang telah mengumumkan calon masing-masing di negeri ini yang keseluruhannya berjumlah 120 orang iaitu 40 calon bagi setiap parti.

BN Terengganu mengambil pendekatan hampir sama seperti Pas negeri apabila mengekalkan hampir kesemua penyandang kerusi DUN dan Parlimen yang dimenangi pada PRU-13.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari digugurkan daripada bertanding di Parlimen Hulu Terengganu bersama Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Parlimen Setiu).

Seramai 13 muka baharu ditampilkan termasuk pakar motivasi,  Tengku Asmadi Tengku Mohamad di Parlimen Kuala Nerus dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Parlimen Kuala Terengganu.

Kedua-dua tokoh terbabit bukanlah calon payung terjun kerana Tengku Asmadi merupakan anak jati Seberang Takir, Kuala Nerus manakala Wan Nawawi pula sudah lama terlibat dalam pelbagai aktiviti UMNO Bahagian Kuala Terengganu sejak dari zaman Pergerakan Pe­muda lagi.

Baki 11 muka baharu lain pula merupakan Penyelaras DUN di kawasan masing-­masing dan mereka tidak perlu diper­kenalkan lagi kepada rakyat kerana telah berkhidmat selama hampir empat tahun.

Empat bekas wakil rakyat yang digugurkan pada PRU-13 iaitu Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam, Datuk Halim Jusoh dan Datuk Mohamed Awang Tera pula kembali diberi kepercayaan untuk dicalonkan masing-masing di Parlimen Hulu Terengganu, Parlimen Dungun, DUN Permaisuri dan DUN Chukai.

Dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said yang diakui masih mempunyai pe­ngaruh di peringkat akar umbi turut dikekalkan di kerusi masing-masing iaitu Parlimen Besut dan DUN Kijal.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kesemua calon BN yang ditampilkan berkenaan telah melepasi pelbagai saringan dan di­yakini paling diterima pada peringkat akar umbi kawasan masing-masing.

“Keputusan adalah muktamad dan kita tidak akan melayan sebarang protes dan rayuan. BN negeri juga telah mengambil iktibar daripada pengalaman lepas dan telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan perbuatan cah keting (sabotaj) dengan penubuhan skuad penyelesaian krisis,” katanya ke­pada Kosmo! baru-baru ini.

Ketua Kluster Governans Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, BN sudah pasti mempu­nyai strategi tertentu dalam meletakkan calon di setiap kerusi Parlimen dan DUN di Terengganu.

“Faktor pencalonan semula calon yang pernah digugurkan dan kalah pada PRU sebelum ini sangat subjektif tetapi mesti ada rasional ter­tentu berhubung keputusan itu.

“Tidak semestinya calon yang pernah kalah tidak berpeluang untuk menang. Ini adalah kerana kalah atau menang dalam setiap PRU bergantung kepada faktor-faktor lain juga,” ujarnya.

Sementara itu, Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ber­kata, sebagai bekas Menteri Besar Terengganu, beliau berpendapat calon BN yang diumumkan merupakan yang terbaik untuk dipilih oleh rakyat Terengganu.

“Perasaan tidak puas hati dalam kalangan segelintir penyokong BN negeri selepas nama pemimpin kegemaran mereka tidak tercalon merupakan situasi biasa dan bukan berlaku di Terengganu sahaja.

“Begitupun saya percaya ia hanya timbul pada peringkat permulaan dan akan kembali tenang tidak lama lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment