Translate

Wednesday, April 25, 2018

Pusat Alumni UMT diperkasa

PENGLIBATAN aktif bekas pelajar atau alumni merupakan antara elemen penting membantu pembangunan dan perkembangan sesebuah universiti seperti dibuktikan institusi pengajian tinggi berprestij dunia seperti Universiti Oxford dan Universiti Cambridge.

Menyedari kepentingan untuk menyemarakkan lagi semangat sayangkan alma mater (pusat pengajian) secara berterusan dalam kalangan bekas pelajarnya, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah menaik taraf Unit Alumni baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT, Prof. Madya Dr. Che Ruzaidi Ghazali berkata, unit tersebut kini dikenali sebagai Pusat Alumni mulai 1 Januari lalu.

"Prof. Madya Dr. Mohamad Rosni Othman diberi tanggungjawab untuk menerajui Pusat Alumni UMT berkenaan. Pada peringkat awal, dua keutamaan ditetapkan iaitu memantapkan pengkalan data alumni dan mengukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak industri terutama yang mempunyai tenaga kerja keluaran UMT,"  katanya pada temu bual khas di Pejabat HEPA, UMT, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.
Che Ruzaidi berkata, setakat ini, UMT mempunyai 26,570 orang alumni merangkumi graduan keluaran UMT dan Kolej Universiti Sains dan Teknologi (Kustem) sejak tahun 2003.

Menurut beliau, selain itu, siswazah yang pernah pernah belajar di kampus UMT di Kuala Nerus, Terengganu sewaktu ia di bawah pengurusan Universiti Putra Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia) dari tahun 1983 hingga 2002 juga boleh menjadi ahli alumni bersekutu.

"Besar harapan kami agar seramai mungkin alumni dapat kembali menyumbang secara aktif sama ada dari segi kemahiran, jaringan industi mahu pun material demi perkembangan UMT.

"Antara yang dilakukan oleh alumni ialah menjadi mentor kepada pelajar, melibatkan diri dalam aktiviti anjuran universiti ataupun menyumbang kepada tabung zakat, wakaf dan tabung endowmen UMT," ujar beliau.

Sementara itu, Rosni berkata, bagi menanamkan semangat kecintaan kepada alma mater tersebut, pihaknya telah menerapkan slogan 'Kami Cakna, Kami Sayang UMT'.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengambil pendekatan untuk mendekati seramai mungkin bekas pelajar terutama yang berada di luar Terengganu mengikut zon pemastautin masing-masing seperti Utara, Lembah Klang, Selatan dan Malaysia Timur.

"Pengelasan zon-zon tersebut membolehkan alumni yang kini menetap di kawasan masing-masing berkumpul dan merancang sebarang aktiviti bersama-sama pengurusan universiti.

"Selain itu, kita juga mewujudkan Anjung Alumni di Bangunan HEPA UMT, kampus Kuala Nerus, Terengganu yang merupakan lokasi selesa bagi menggalakkan pertemuan antara kami dengan alumni, pihak industri untuk mengadakan perbincangan dan menganjurkan apa sahaja aktiviti bersama," katanya.

Rosni berkata, pihaknya juga telah menaik taraf portal Alumni UMT selain menyediakan platform e-alumni bagi membolehkan setiap aktiviti dan data melibatkan bekas pelajar universiti itu dapat dikemaskini dengan segera.

Ujar beliau, alumni UMT juga boleh melayari laman Facebook, Pusat Alumni UMT dan instagram, alumniumt_official bagi mendapatkan maklumat lanjut program-program anjuran pusat kelolaannya tersebut.

Dalam perkembangan sama, Che Ruzaidi berkata, penyertaan lebih ramai alumni diperlukan bagi memperkasakan lagi program kebajikan dan penyerlahan bakat pelajar anjuran HEPA UMT selama ini sebahagian besarnya dijana oleh yuran Tabung Amanah Kebajikan dan Aktiviti Pelajar.

Beliau berkata, HEPA UMT yang diterajuinya sentiasa mencari pendekatan terbaik memastikan kebajikan lebih 9,000 pelajar institusi pengajian tinggi itu telah terjaga bagi tidak mengganggu fokus mereka terhadap akademik dan pembangunan sahsiah serta bakat.

"HEPA UMT bekerjasama dengan Pusat Islam Sultam Mahmud untuk memberi bantuan sama ada secara one off (sekali bayaran) atau bulanan kepada pelajar Islam yang mengalami kesulitan kewangan menerusi tabung zakat dan wakaf.

"Bagi pelajar bukan Islam pula, bantuan diberikan menerusi dana Endowmen yang diwujudkan Pejabat Bendahari UMT," ujar beliau.

Che Ruzaidi berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif mewujudkan laman Gerobok Rezeki yang menempatkan makanan sarapan dan tengah hari pada setiap hari untuk keperluan pelajar universiti tersebut yang kurang berkemampuan.
Menurut beliau, Gerobok Rezeki itu hasil sumbangan penderma dalam kalangan kakitangan UMT, pengusaha kafe dan individu persendirian ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti bangunan HEPA, Pusat Islam Sultan Mahmud dan Kelab Mutiara UMT.

"Kita juga menyediakan rak yang mengandungi barangan kering seperti beras, tepung gandum, bihun, gula dan susu yang disasarkan untuk pelajar UMT yang menetap di luar kampus.

Dalam pada itu, Che Ruzaidi memberitahu, HEPA UMT juga menyokong dasar Kementerian Pendidikan Tinggi untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 dengan membangunkan sistem e-resume dan e-profil.

Beliau berkata, menerusi sistem tersebut, setiap kegiatan kokurikulum pelajar akan dikemaskini secara terus selain membolehkan mereka memuat naik video bagi mempromosi kebolehan dan kemahiran masing-masing.
"Sistem ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelajar UMT malah memudahkan pihak industri untuk mengenalpasti potensi pencari kerja dalam kalangan produk UMT.

"Alumni juga boleh berperanan sebagai pemudah cara untuk menyarankan lepasan UMT yang baru menamatkan pengajian tersebut kepada majikan masing-masing berdasarkan sistem e-resume berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment