Translate

Wednesday, April 4, 2018

Kerajaan ambil berat pendidikan Orang Asli

HULU TERENGGANU – Kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pendidikan Orang Asli di negara ini sebagai salah satu strategi jangka panjang untuk meningkatkan taraf hidup komuniti tersebut.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini, sebanyak 99 sekolah merangkumi 98 sekolah rendah dan satu sekolah menengah te­lah dibina di penempatan Orang Asli di seluruh negara.

Beliau berkata, seramai 37,934 murid dan pelajar Orang Asli belajar di sekolah-sekolah terbabit termasuk lima daripadanya merupakan Sekolah Model Khas Komprehensif (K9).

“K9 merupakan inisiatif me­nempatkan murid dan pelajar Orang Asli di premis sama dari Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga bagi membolehkan mereka memperoleh lebih tumpuan daripada guru sekali gus mengurangkan kes keciciran persekolahan.

“Kerajaan sentiasa berpegang teguh pada dasar Pendidikan untuk Semua seperti dikehendaki UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penyerahan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan (SK) Berua, di sini semalam. Turut hadir Timbalan Pengerusi Eksekutif T7 Global Berhad (T7 Global), Tan Sri Tan Kean Soon.

Bangunan mengandungi empat kelas untuk kegunaan 104 murid Orang Asli yang menelan kos RM200,000 tersebut merupakan sumbangan T7 Global menerusi program tanggungjawab sosial korporat.

No comments:

Post a Comment