Translate

Monday, April 30, 2018

Buruh mati lemas

HULU TERENGGANU - Keriangan sekumpulan penduduk kampung mandi-manda berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas akibat dihanyutkan arus deras Sungai Kejir, Kuala Berang di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.05 petang itu,, Latif Yahya, 48, sedang mendukung anak saudara lelakinya yang berumur lima tahun menyeberang untuk ke tebing selepas mandi-manda di sebuah dataran pasir yang terletak di tengah-tengah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Kuala Kejir, Kuala Berang di sini  membawa anak saudaranya, Mohd. Iman Sukri mandi di dataran pasir terbabit bersama beberapa rakan sekampungnya pada pukul 3.30 petang.

"Selepas puas mandi kira-kira setengah jam kemudian, mangsa yang merupakan seorang buruh telah kembali menyeberang sungai untuk kembali ke tebing sambil mendukung anak saudara lelakinya terbabit.

"Sewaktu sedang menyeberang, dia tiba-tiba dihanyutkan arus deras sebelum kelibatnya tenggelam ke dalam sungai itu. Begitupun, anak saudaranya telah berjaya diselamatkan rakan-rakannya yang menyaksikan kejadian itu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, mayat mangsa kemudiannya ditemui oleh penduduk kampung yang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 4.30 petang.

Menurut beliau, mayat Latif ditemui timbul pada kedudukan kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat," katanya.

No comments:

Post a Comment