Translate

Wednesday, April 25, 2018

13 muka baharu galas misi BN

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) Terengganu menampilkan 13 calon muka baharu bagi menggalas misi mengekalkan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, antara calon baharu tersebut ialah pakar motivasi ter­kenal, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus dan bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau yang merupakan Menteri Besar berkata, tiga bekas wakil rakyat yang digugurkan pada PRU-13 iaitu Datuk Rosol Wahid, Datuk Halim Jusoh dan Datuk Mohamad Awang Tera masing-ma­sing diberi kepercayaan bertanding semula di kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan DUN Chukai.

“BN negeri juga meletakkan dua calon wanita iaitu Exco Pergerakan Wanita UMNO, Toh Puan Zaitun Mat Amin di kerusi DUN Bukit Payung dan Bendahari Pergerakan Wanita UMNO negeri, Datuk Zainun Abu Bakar di DUN Sura.

“Dua bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said mempertahankan kerusi ma­sing-masing iaitu Parlimen Besut dan DUN Kijal,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon BN Terengganu bagi PRU-14 di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman di sini semalam.

Ahmad Razif berkata, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kesejahte­raan Bandar negeri, Datuk Mohamad Jidin Shafie yang merupakan penyandang DUN Permaisuri pula kembali bertanding di Parlimen Setiu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Parlimen Setiu) telah digugurkan daripada bertanding.

No comments:

Post a Comment