Translate

Saturday, April 14, 2018

BN Terengganu lancar manifesto tambahan

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Barisan Nasional (BN) Terengganu melancarkan manifesto tambahan yang bertemakan Masa Hadapan, Kita Bina Bersama hari ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, manifesto tambahan tersebut memberi penekanan khusus kepada memartabatkan agama Islam dan keharmonian beragama, mengurangkan beban rakyat dan membina generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR R.0).

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata,  memperkasa pendidikan sebagai asas kecemerlangan sumber manusia dan menyerlahkan lagi penglibatan aktif golongan wanita dalam pelbagai bidang juga menjadi teras kepada aku janji tambahan terbabit.

"Aku janji tambahan BN Terengganu ini menyentuh 20 perkara penting seperti mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan dan pusat mencari kerja, JobsTerengganu serta memastikan keutamaan peluang pekerjaan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur diberikan kepada anak tempatan.

"Kadar tol Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) juga akan diturunkan sehingga 50 peratus secara berperingkat,  status rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan ditukar kepada sewa beli daripada sewaan dan pembinaan tambahan 20,000 rumah mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Manifesto BN Terengganu yang  disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Kuala Berang di sini hari ini.


Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment