Translate

Thursday, April 19, 2018

TFC II puas kecewakan JDT II

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club II (TFC II) akhirnya melakar kemenangan sulung di gelanggang sendiri selepas menumpaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Tiga mata yang diperoleh itu amat berharga kerana ia merupakan kemenangan kedua yang berjaya dilakar anak-anak buah Mustaffa Kamal Abd. Wahab sepanjang tujuh aksi Liga Premier setakat ini.

Mustaffa berkata, para pemain telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan dengan memainkan peranan masing-masing di tengah padang secara berkesan sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kita layak untuk mendapat tiga mata ini kerana telah bermain dengan komitmen tinggi sehingga mampu menumbangkan JDT II yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan.

“Selalunya kita mudah dibolosi menerusi taktik set-piece, namun kali ini kita pula berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi cara tersebut,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Mustaffa berkata, gol kemenangan berpunca daripada sepakan percuma pada minit ke-76 tersebut dihasilkan menerusi tandukan pemain pertahanan, Muhammad Radhi Mohd. Yusof yang beraksi buat pertama kali dengan TFC II.

Jelas beliau, Radhi merupakan salah seorang daripada pemain TFC I termasuk penyerang Korea Selatan, Lee Jun-hyeob yang dilepaskan untuk beraksi dengan pasukannya baru-baru ini.

“Begitupun, barisan serangan kami yang dikemudi oleh Akanni-Sunday Wasiu dan Jun-hyeob dilihat masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian.

“Saya akui Sunday Wasiu agak bergelut untuk mendapatkan semula sentuhannya selepas gandingannya sebelum ini, Bruno Suzuki beralih ke TFC I,” katanya.

No comments:

Post a Comment