Translate

Tuesday, April 17, 2018

Lancar manifesto tambahan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) Terengganu melancarkan manifesto tambahan yang bertemakan Masa Hadapan, Kita Bina Bersama semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, manifesto tambahan tersebut memberi penekanan khusus kepada memartabatkan agama Islam dan keharmonian beragama, mengurangkan beban rakyat dan membina generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, memperkasa pendidikan sebagai asas kecemerlangan sumber manusia dan menyerlahkan lagi penglibatan aktif golongan wanita dalam pelbagai bidang juga menjadi teras kepada aku janji tambahan terbabit.

“Aku janji tambahan BN Terengganu ini menyentuh 20 perkara penting seperti mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan serta memastikan keutamaan peluang pekerjaan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur diberikan kepada anak tempatan.

“Kadar tol Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) juga akan diturunkan sehingga 50 peratus secara berperingkat-peringkat, status rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan ditukar kepada sewa beli daripada sewaan dan pembinaan tambahan 20,000 rumah mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Manifesto BN Terengganu yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Kuala Berang di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari.

Ahmad Razif berkata, BN Terengganu juga berjanji akan memper­kenalkan kad harga patut yang membolehkan golongan fakir, miskin, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan anak yatim negeri tersebut membeli barang keperluan de­ngan lebih murah.

Menurut beliau, Pusat Tahfiz Darul Iman, pusat pengajian agama harian, pusat hemodia­lisis, pusat pemindahan banjir bersepadu dan lebih banyak rumah PPR juga bakal dibina selain program Jualan Sentuhan Rakyat diperluaskan di seluruh daerah di Terengganu.

No comments:

Post a Comment