Translate

Tuesday, April 10, 2018

Pantai Kuala Kerteh jadi tapak kekal karnival usahawan wanita

MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Pantai Kuala Kerteh dekat sini yang menjadi lokasi penganjuran Karnival Usahawanita  selama tiga hari sehingga hari ini akan dijadikan tapak kekal karnival untuk peniaga wanita.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah tersebut bertujuan membuka lebih ruang kepada  usahawan wanita untuk menjual dan mempromosi produk dan perkhidmatan masing-masing.

Beliau berkata, pembukaan tapak karnival kekal khas untuk usahawan wanita berkenaan juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengisytiharkan tahun ini sebagai Tahun Memperkasa Wanita pada pembentangan Bajet 2018 lalu.

"Pantai Kuala Kerteh yang sepi sebelum ini sudah makin terkenal apabila ia terbukti apabila berkemampuan menjadi lokasi penganjuran karnival berskala besar seperti Karnival Usahawanita dan Gelombang Nelayan Nasional.

"Kita akan menjadikan kawasan ini sebagai tapak kekal karnival khas untuk usahawan wanita dan ia merupakan sebahagian manifesto tambahan Barisan Nasional Bahagian Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-14," katanya kepada pemberita.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Road To MAHA 2018 Zon Timur yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Pantai Kuala Kerteh dekat sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment