Oleh MOHD. AZLI ADLAN
RENTAK penyudah penyerang utama skuad Terengganu, Federico Falcone masih belum mencapai tahap yang dikehendaki.
Situasi tersebut mula membimbangkan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim.
Sejak menyertai skuad Penyu pada Disember tahun lalu, penyerang kelahiran Argentina itu sekadar menjaringkan dua gol pada kempen Liga Premier, masing-masing pada perlawanan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Irfan mengakui bahawa beliau masih tidak berpuas hati dengan prestasi Falcone yang menyertai skuad Terengganu dengan reputasi hebat sebagai penyerang prolifik kelab Valletta FC sebelum ini.
“Persembahan Falcone setakat ini memang sangat mengecewakan. Sebagai penyerang utama, dia sepatutnya lebih berani mengawal bola dan bijak menghidu peluang untuk menghasilkan jaringan.
“Saya harap dia akan tampil lebih yakin apabila memperoleh peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan-perlawanan akan datang,” kata Irfan kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Irfan berkata, Terengganu bernasib baik kerana peranan untuk menggegar gawang pasukan lawan digalas dengan baik oleh pemain lain seperti Issey Farran Nakajima dan Turaev Lutfulla serta pemain tengah tempatan, Abdul Latiff Suhaimi.
Selepas mengharungi lapan aksi Liga Premier musim ini, skuad Penyu sudah menghasilkan 14 gol dan bolos 10 kali.
Terengganu bakal berhadapan skuad ‘adik’, T-Team pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini sebelum menyambung kempen Liga Premier menentang pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDTII) pada 17 Mac depan.
Sewaktu mewakili Valletta, Falcone telah membantu pasukan itu menjulang Liga Premier Malta dengan menjaringkan 24 gol dalam 46 perlawanan.
Penyerang berusia 27 tahun itu memulakan karier sebagai pemain bola sepak bersama kelab ternama Argentina, Newell’s Old Boys.
No comments:
Post a Comment