Translate

Wednesday, March 15, 2017

Ular sawa 120kg mati sesak nafas selepas telan anak babi

KUALA NERUS – Penduduk Kampung Tanjung Bunut, Teluk Pasu di sini gempar dengan penemuan bangkai seekor ular sawa seberat 120 kilogram (kg) di kawasan belukar berhampiran Sungai Tanjung Bunut semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, ular sawa sepanjang enam meter itu dipercayai mati akibat sesak nafas akibat kekenyangan setelah menelan seekor anak babi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Nerus, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, reptilia itu telah dijumpai oleh seorang penduduk kampung yang sedang mencari paku-pakis di kawasan semak berkenaan.

“Dia yang biasa mencari paku-pakis di kawasan semak di pinggir Sungai Tanjung Bunut berkenaan terkejut dengan penemuan ular sawa besar tersebut sebelum memaklumkan perkara itu kepada beberapa penduduk kampung lain.

“Sewaktu dijumpai, ular sawa berkenaan kelihatan amat lemah dan tidak agresif dipercayai akibat terlalu kekenyangan selepas menelan seekor anak babi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ahmad Kamal berkata, penduduk kampung telah menghubungi APM Daerah Kuala Nerus bagi meminta bantuan untuk menangkap ular sawa berkenaan.
“Pemeriksaan tiga anggota APM mendapati, ular sawa berkenaan telah mati dipercayai akibat sesak nafas selepas menelan anak babi.

“Bangkai ular sawa ber­kenaan kemudiannya telah diserahkan kepada Per­hilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment