Translate

Wednesday, March 8, 2017

Nuraini mahu julang Piala Vivian May Soars­­

PAKAR flick skuad hoki wanita kebangsaan, Nuraini Abdul Rashid memainkan peranan penting ketika membantu Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) merangkul kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia pada musim ini menerusi sumbangan 17 gol.

Jaringan-jaringan tersebut kebanyakannya dihasilkan menerusi lapan pukulan sudut penalti dan sembilan gol padang daripada keseluruhan 42 gol TLHT sepanjang 10 saingan liga musim ini.

Kecemerlangan Nuraini itu termasuk menjaringkan dua gol pada aksi terakhir liga ketika menang 5-0 ke atas Persatuan Hoki Daerah Johor Bahru di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.
Ia sekali gus membolehkan pemain berusia 28 tahun itu muncul sebagai penjaring terbanyak liga musim ini.

Sehubungan itu, Nuraini bertekad meneruskan kecemerlangan tersebut apabila menentang Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pada aksi separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars esok.

Nuraini berkata, cabaran SSTMI yang juga bekas pasukannya musim lalu tidak boleh dipandang enteng meskipun THLT mudah menjinakkan pasukan itu pada dua aksi liga sebelum ini.

“Kalau boleh, saya juga mahu menjulang Piala Vivian May Soars. Musim lalu sewaktu mewakili SSTMI, saya kempunan selepas tewas 1-2 di tangan Blue Warriors pada aksi final,” katanya.

Pada masa sama, Nuraini berharap dapat membantu TLHT merangkul kejuaraan berganda pada musim pertama kemunculan mereka dalam arena hoki wanita tahun ini.

No comments:

Post a Comment