Translate

Wednesday, March 8, 2017

Peluang sertai cabaran berbasikal lasak di Bukit Khor

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PEMINAT sukan basikal lasak dipelawa untuk menyertai pertandingan Cabaran Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) anjuran kolej kemahiran itu yang akan diadakan Bukit Kor, Marang, Terengganu pada 29 April depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, A. Latiff Awang berkata, cabaran berbasikal lasak sejauh 40 kilometer yang julung kali dianjurkan itu merupakan sebahagian daripada acara dalam kalendar Tahun Melawat Terengganu 2017.

"Trek bagi pertandingan di sekitar Bukit Kor yang bukan sahaja mencabar malah menyajikan pemandangan indah dan permai termasuk melalui persekitaran sebuah lagun berwarna biru yang merupakan bekas lombong emas.

"Kita menyasarkan 1,000 penyertaan dari peminat basikal lasak tempatan dan luar negara," katanya ketika melancarkan pertandingan itu di Tesdec, Marang, Terengganu semalam.

A. Latiff berkata, Cabaran Tesdec telah dibahagikan kepada lapan kategori antaranya Terbuka Lelaki dan Wanita, Remaja Lelaki, Lelaki Veteran dan Institusi Pengajian Tinggi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Terengganu berkata, pertandingan tersebut juga membuka penyertaan untuk penunggang basikal lasak yang mempunyai berat badan 90 kilogram ke atas bagi kategori Heavyweight.

"Cabaran Tesdec menawarkan ganjaran wang tunai menarik lebih RM15,000 dan pingat kepada kesemua pemenang setiap kategori selain cabutan bertuah bernilai RM10,000.

"Yuran penyertaan yang dikenakan cuma RM70 dan tarikh tutup penyertaan pada 31 Mac depan. Maklumat lanjut tentang kejohanan tersebut, sila hubungi talian 014-6480900, 013-9514338 dan 019-3853887," katanya.

No comments:

Post a Comment