Translate

Wednesday, March 15, 2017

Gadis Terengganu suri hati Mat Dan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TAKDIR yang disusun Yang Maha Pencipta buat figura bernama Daniel Tyler begitu indah. Kembara jejaka ‘mat salleh’ itu ke beberapa negara di Asia Tenggara sekitar lapan tahun lalu akhirnya membawa kelananya sampai di Pulau Kapas, Marang, Terengganu.

Terpikat dengan keindahan anugerah alam, flora dan fauna, lebih utama lagi budaya masyarakat setempat yang ditemuinya memaku Daniel untuk terus berada di salah sebuah pulau tercantik di Malaysia tersebut buat satu tempoh yang tiada tarikh luput. Dia jatuh cinta, bermaustautin di situ sehinggalah dalam kalangan masyarakat tempatan namanya lebih senang disebut Mat Dan. Di pulau peranginan tersebutlah, Daniel seperti dilahirkan semula dengan identiti baharu sebagai Mat Dan sejak tahun 2009.

Transisi anak muda kelahiran Bristol, England bermula daripada situ. Jiwanya, pembawaan diri dan loghat bahasanya berubah persis lelaki jati Terengganu.

Pergaulannya dengan warga Marang yang mewah dengan budi bahasa turut membuka hidayah buat Mat Dan, 28, untuk memilih cahaya keimanan dengan nama Islamnya, Kareef Daniel Abdullah.
Gelagat Mat Dan berbahasa Melayu loghat Terengganu yang menjadi viral di  laman YouTube beberapa tahun lalu telah memikat khalayak Malaysia, sekali gus menjadi batu loncatan kepadanya apabila disunting stesen televisyen tempatan untuk mengacara beberapa rancangan travelog.

Proses transisi sejak tahun 2009 tersebut boleh dikatakan lengkap apabila dia akhirnya menamatkan zaman bujang dengan gadis Terengganu di Kampung Bukit Chendering, Kuala Terengganu, kelmarin.

Dengan sekali lafaz dalam bahasa Melayu, Mat Dan telah sah bergelar suami kepada gadis bertudung berusia 20-an yang dikenali sebagai Deera pada pukul 5.30 petang, 12 Mac lalu.

Wanita beruntung yang berjaya mencairkan hati pengacara rancangan Mat Dan Kaki Jalan itu dikatakan bekas pelajar sekolah menengah agama terkenal di bandar raya Kuala Terengganu. Difahamkan, Deera  kini bertugas sebagai pramugari sebuah syarikat penerbangan antarabangsa yang berpangkalan di Timur Tengah.

Hormat keluarga mertua

Tujuh jam sebelum diijab kabul, pasangan mempelai itu telah ditunangkan di rumah pengantin perempuan pada pukul 10 pagi.

Biarpun dijalankan secara ringkas, kedua-dua majlis pertunangan dan pernikahan tersebut berlangsung dengan penuh tertib dalam adat istiadat Melayu.

Tanpa kekok, Mat Dan memperlihatkan kesempurnaan adaptasi kemelayuannya dengan memakai baju Melayu berwarna ungu lengkap bersamping songket Terengganu dan bersongkok sewaktu menghadiri majlis pertunangan tersebut.

Ibunya, Nicol Tyler yang terbang dari Bristol dengan ceria menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Deera.

Tambah seri, wanita Inggeris itu anggun mengenakan baju kurung berwarna coklat, manakala menantu perempuannya memakai persalinan rona ungu yang sedondon dengan Mat Dan.
Pada sebelah petangnya, Deera dan suami mengenakan busana serba krim bagi upacara pernikahan dan makan beradab.

Pada majlis akad nikah anaknya, Nicol dan suami, Kevin Tyler pula masing-masing memakai persalinan baju Melayu dan kurung berwarna biru cair jelas kelihatan begitu berselera menikmati hidangan makan beradab yang 100 peratus masakan Melayu jati Terengganu.

Begitu pun, majlis pernikahan dan pertunangan tersebut dilakukan secara tertutup dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua pihak.

Mat Dan yang ditemui beberapa hari sebelum hari bahagianya juga memilih untuk berahsia dan berdalih seolah-olah memberi isyarat jelas menutup rapat pintu daripada media untuk membuat liputan.

Bagaimanapun, tanpa kehadiran media, gambar-gambar pertunangan dan pernikahan mereka tetap bebas bertebaran dan menjadi tular di media sosial tidak sampai sejam selepas majlis berlangsung.

Ditebak persoalan tentang pilihan dan penyebaran gambar hari bahagianya, Mat Dan yang agak terkejut menjelaskan, keputusan mengadakan majlis secara tertutup dilakukan bagi menghormati keluarga mertuanya.

“Kami memilih mengadakan majlis tertutup dan hanya menjemput keluarga terdekat kerana menghormati ibu mertua yang masih dalam edah (berkabung selepas kehilangan suami).

“Kami hanya merancang mengadakan majlis persandingan pada akhir tahun ini,” katanya sewaktu ditemui di rumah mertuanya.

Ditanya lebih lanjut, Mat Dan tetap dengan pendiriannya enggan mendedahkan identiti suri hidupnya yang cantik manis itu.

Apa pun, kami amat menghormati prinsipnya dan dengan jiwa besar diucapkan selamat pengantin baharu buat Mat Dan dan isterinya yang jelita.

Melayari bahtera perkahwinan penuh dengan dugaan tersendiri dan sudah pasti ia tidak semudah mengendalikan bot laju di Pulau Kapas.

No comments:

Post a Comment