Translate

Friday, March 31, 2017

Faruqi kembali perkuatkan Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu mendapat semangat baharu menje­lang aksi suku akhir pertama Piala FA 2017 menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu esok apabila perancang berbisa mereka, Ismail Faruqi Ashari bakal membuat kemunculan semula selepas lebih sembilan bulan berehat.

Faruqi, 30, berkata, dia ki­ni bersedia untuk merebut kembali posisinya dalam kesebelasan utama skuad Penyu selepas terpaksa berehat panjang akibat kecederaan pergelangan kaki pada pertengahan tahun lalu.

Pemain berpengalaman yang telah membuat penampilan sebanyak 82 kali dengan skuad Terengganu sejak tahun 2007 itu memberitahu, dia sudah mula menjalani latihan bersama pasukan beberapa minggu lalu.

“Ketua jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) memberitahu, saya berada dalam perancangan­nya pada pertemuan menentang Sarawak selepas menilai aksi yang dipamerkannya dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kelantan dan MPKB-BRI (Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam) baru-baru ini.

“Beliau memaklumkan, buat permulaan saya akan berada dalam barisan simpanan pada perlawanan itu nanti dan di minta bersedia untuk beraksi sebagai pemain gantian sekiranya diperlukan,” kata Faruqi ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Faruqi berkata, kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan skuad Penyu akan digunakan sebaiknya bagi mengembalikan prestasi sebelum ini, sekali gus merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan Terengganu.

Begitupun, pemain tengah yang mempunyai lima caps bersama skuad Harimau Malaysia itu mengakui dia belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya.
“Setakat ini, tahap kecergasan saya baru mencapai 80 peratus dan perlu terus bekerja keras untuk mengembalikan rentak permainan.

“Apa pun, saya yakin untuk kembali bermain seperti biasa,” katanya.
Faruqi merupakan sebaha­gian daripada aset pen­ting skuad Terengganu ketika me­reka menjuarai Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia serta Liga Super pada musim 2011.

Dalam perkembangan sama, penjaga gol skuad Bawah 22 Tahun kebangsaan, Amierul Hakimi Awang juga disahkan telah cergas sepenuhnya untuk mengemudi gawang skuad Penyu pada aksi suku akhir pertama Piala FA itu malam esok.

No comments:

Post a Comment