Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH
BESUT – Seorang peniaga gerai makanan yang aktif bersukan ditemui mati dipercayai akibat serangan jantung selepas berjoging di sebuah taman rekreasi berhampiran Pejabat Pusat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh dekat sini semalam.
Mangsa, Zamrin Mat Salleh @ Sallehuddin, 41, dijumpai dalam keadaan terkulai di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Kelisa di hadapan Pejabat Pusat Penyelaras DUN Jerteh oleh beberapa penduduk yang melalui kawasan itu pada pukul 9.40 pagi.
Difahamkan, selain sering berjoging di taman rekreasi itu, mangsa juga dikatakan melakukan aktiviti mendaki gunung.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, penduduk yang menemui Zamrin dalam keadaan tidak sedarkan diri telah dimaklumkan kejadian itu kepada seorang anggota polis dari Balai Polis Jerteh yang kebetulan sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan anggota polis itu mendapati, mangsa yang berasal dari Kampung Alor Selinsing, Jerteh dekat sini telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Zamri memberitahu, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian Zamrin telah berjoging di sebuah taman rekreasi dan kemudian kembali ke keretanya yang diletakkan di hadapan Pejabat Pusat Penyelaras DUN Jerteh dipercayai untuk pulang ke rumah.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai tiba-tiba mengalami serangan jantung sebelum meninggal dunia.
Setakat ini, kematian Zamrin diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
No comments:
Post a Comment