Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KASANABILAH KAMARUL ZAMAN
KUALA TERENGGANU – Pengacara rancangan travelog, Kareef Daniel Abdullah, 28, atau lebih dikenali sebagai Mat Dan menamatkan zaman bujangnya dengan seorang gadis Melayu yang dikatakan bekerja sebagai pramugari di Bukit Chendering di sini semalam.
Majlis pernikahan yang berlangsung pada pukul 5.30 petang diadakan mengikut adat-istiadat Melayu dan secara tertutup dengan hanya dihadiri waris terdekat dan sahabat rapat.
Turut hadir ibu bapa Mat Dan iaitu Kevin Tyler dan Nicol Tyler yang berasal dari Bristol, England.
Terdahulu, pasangan itu ditunangkan dalam majlis ringkas di rumah pengantin perempuan pada pukul 10 pagi.
Sewaktu ditemui wartawan Kosmo! kelmarin, Mat Dan yang fasih bertutur loghat Terengganu enggan mengesahkan khabar angin berhubung majlis perkahwinannya dengan gadis Melayu bertudung tersebut.
Begitupun, gambar majlis pertunangan dan pernikahan pasangan itu tersebar dalam media sosial.
Antara yang tersebar ialah gambar ibu Mat Dan, Nicol menyarung cincin ke jari manis menantu perempuannya yang mengenakan busana berwarna ungu.
Mat Dan yang turut hadir pada majlis pertunangan tersebut memakai baju Melayu berwarna ungu, bersamping songket Terengganu serta bersongkok.
Nicol juga anggun memakai baju kurung berwarna coklat dan berselendang putih.
Bagi upacara nikah dan makan beradab, kedua-dua mempelai mengenakan persalinan berwarna putih manakala ibu bapa Mat Dan masing-masing memakai baju Melayu dan baju kurung berwarna biru.
Menurut kenalan Mat Dan, identiti gadis pilihan hati Mat Dan tidak dapat didedahkan ketika ini atas permintaan keluarganya.
Mat Dan atau nama sebenarnya Daniel Tyler yang pada mulanya bercuti di Pulau Kapas, Marang memilih untuk menetap di pulau peranginan tersebut pada tahun 2009 selepas jatuh cinta dengan keindahan negara ini.
Dia yang mempelajari budaya tempatan memeluk agama Islam pada Januari 2013.
Mat Dan kini merupakan pengacara beberapa rancangan televisyen tempatan bercorak pengembaraan seperti Haramain Backpackers dan Mat Dan Kaki Jalan.
Program itu disampaikannya dalam loghat Melayu Terengganu.
No comments:
Post a Comment