Translate

Thursday, March 9, 2017

Terengganu tarik 87 rumah PPR

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 87 pemilikan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini telah ditarik balik berikutan pelanggaran syarat sepanjang tahun lalu.

Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh berkata, antara pelanggaran syarat yang telah dikesan ialah menyewakan kediaman itu kepada pihak ketiga, memiliki kediaman lain dan mempunyai tunggakan sewa melebihi enam bulan.

“Sebanyak 40 kes penarikan balik pemilikan kediaman PPR Padang Hiliran sepanjang tahun lalu disebabkan kesalahan menyewakan rumah tersebut kepada pihak ketiga dan memiliki kediaman lain.

“Ada juga yang tidak pernah langsung menduduki kediaman itu sejak Oktober 2015,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Samiun berkata, siasatan PMINT mendapati, punca utama senario itu berlaku disebabkan penyewa memiliki kediaman lain.

Menurut beliau, syarat kelayakan untuk menduduki kediaman ber­kenaan ialah tidak mempunyai kediaman sendiri dan mempunyai pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM3,000.

“Selain itu, 47 kes pembatalan pemilikan PPR Padang Hiliran itu juga di­sebabkan kegagalan membayar tunggakan sewa bulanan sehingga melebihi enam bulan. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana kadar sewa yang dikenakan amat rendah iaitu cuma RM130 sebulan,” katanya.

Samiun berkata, rumah yang ditarik balik itu akan diberikan kepada individu lain yang lebih berkelayakan dan memerlukan.

No comments:

Post a Comment