Translate

Sunday, March 19, 2017

Penagih dadah ditahan cuba curi lembu

KUALA TERENGGANU – Niat jahat seorang lelaki yang disyaki penagih dadah mahu mencuri seekor lembu gagal selepas perbuatannya disedari penduduk kampung di Kampung Seri Nangka, Gong Kepas, Besut kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, suspek berusia 35 tahun ditangkap penduduk kampung semasa cuba memasukkan lembu jantan itu ke dalam sebuah van jenis Nissan Vanette.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, pemilik haiwan yang berusia 44 tahun telah dikejutkan daripada tidur oleh salah seorang jiran yang mengesyaki terdapat sesuatu yang tidak kena di kandang belakang rumahnya.

“Pemeriksaan pemilik lembu itu mendapati seekor daripada empat ekor lembu yang telah ditambat telah hilang.

“Dia dan beberapa penduduk kampung kemudian mencari lembu jantan itu dan menemui haiwan itu di kawasan semak berhampiran sebuah rumah kosong tidak jauh dari kandangnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, ketika itu, hajat suspek tidak kesampaian apabila dia dikepung dan ditangkap penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis.

“Ujian air kencing mendapati suspek yang berasal dari Kampung Gong Kepas positif dadah jenis amphetamine.

“Dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Ke­seksaan dan Seksyen 511 akta sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment