Translate

Sunday, March 12, 2017

Dua pelajar UMT, pemandu parah van rempuh lembu di LPT2

DUNGUN – Dua pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) cedera parah selepas van jenis Nissan Urvan yang mereka menaiki terbalik selepas merempuh seekor lembu di Kilometer 336.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 9.50 malam itu turut menyebabkan kakitangan UMT, Jaafar Mamat, 55, yang memandu van milik universiti berkenaan cedera parah manakala lima lagi pelajar UMT cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailan Yaakob berkata, dua pelajar UMT, Nuraini Omar Radzi, 22, dan Zulizah Ochi, 22, masing-masing patah kaki kanan dan cedera pada kepala dan dada.

“Lima pelajar UMT yang mengalami cedera ringan ialah Muhammad Bahri Abd. Talib; 23; Nur Hamiza Mohd. Alias, 22; Nur Hidayah Azis, 21; Nasorriah Nasir, 29, dan Wan Nur Hanani Wan Md. Yusof, 21.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke kampus UMT di Kuala Nerus setelah menghadiri satu program pelajar di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zailan berkata, ketika kenderaan terbabit melalui lokasi kejadian, tiba-tiba seekor lembu melintas selepas mema­suki laluan lebuh raya terbabit.

Beliau berkata, van yang dipandu Jaafar tidak sempat mengelak lalu merempuh lembu terbabit.

“Rempuhan berkenaan menyebabkan van itu hilang kawalan lalu terbabas sehingga terbalik ke dalam longkang di tepi lebuh raya itu.

“Tiga mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Unit Ke­cemasan Hospital Dungun di sini untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pagi ini (semalam),” katanya.

Mohd. Zailan berkata, keadaan ketiga-tiga mangsa itu kini dilaporkan stabil manakala lima mangsa yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Dungun.

Difahamkan lembu yang dirempuh van tersebut mati di lokasi kejadian.

No comments:

Post a Comment