Translate

Saturday, March 25, 2017

REHDA mahu bantu pembeli rumah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bercadang untuk memperkenalkan Kempen Bantuan Pemilikan Rumah (HOAC) pada masa terdekat.

Bendaharinya, Datuk Muztaza Mohamad berkata, menerusi skim terbabit, pemaju perumahan bakal menyerap kadar faedah pembiayaan yang dikenakan pihak bank kepada pembeli sepanjang proses pembinaan.

“Biasanya sewaktu pembinaan, pembeli perlu membayar kadar faedah pembiayaan tertentu kepada pihak bank sehinggalah unit yang dibeli siap dibina.

“Jika boleh, kita (pemaju perumahan) akan cuba untuk menyerap (faedah pembiayaan) sepanjang proses pembinaan projek perumahan tersebut,” katanya pada majlis pe­rasmian Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) 2017 peringkat Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi REHDA Terengganu, Mohamad Hishamudin Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Muztaza berkata, HOAC yang dicadangkan itu hanya boleh dimanfaatkan pembeli kediaman pertama terutamanya daripada  kala­ngan sektor swasta.

Menurut beliau, keba­nyakan pembeli berpotensi, khasnya daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan sederhana (M40), tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk membayar wang pendahuluan pembelian unit yang diingini.

“Mereka perlu dibantu kerana pemaju tidak dapat memberikan lebih banyak rebat manakala pihak bank pula tidak lagi menawarkan margin pinjaman yang tinggi sebagai mematuhi peraturan ketat Bank Negara Malaysia untuk mengawal paras hutang isi rumah.

“Oleh itu, REHDA berharap cadangan yang akan dibentangkan ini dapat dipersetujui bank pusat pada masa terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment