Translate

Thursday, March 30, 2017

Kadar kemiskinan rakyat Terengganu turun 56 peratus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penurunan kadar kemiskinan di Terengganu yang menunjukkan perubahan ketara biarpun dalam keadaan ekonomi mencabar mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baginda bertitah, berdasarkan data pada bulan lalu, sebanyak 4,500 isi rumah di negeri ini masih digolongkan dalam kategori kemiskinan berbanding 10,500 isi rumah pada Januari 2016.

“Bilangan (kemiskinan) ini turun dengan mendadak bersamaan 56 peratus. Beta berasa amat sukacita dengan penurunan jumlah isi rumah dalam kategori miskin tersebut.

“Ini menunjukkan pelbagai program dan inisiatif oleh kerajaan (negeri) telah berjaya mengeluarkan golongan ini daripada kemiskinan,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Sultan Mizan menyeru agar inisiatif kerajaan negeri Terengganu membantu golongan miskin seperti penubuhan Sekretariat Tabung Darul Iman dan Tabarru’ (pasar percuma) diteruskan.

Baginda bertitah, Tabung Darul Iman memberi bantuan seperti perubatan, sara diri tahunan, susu, lampin pakai buang dan bencana dengan kadar segera kepada rakyat kurang berkemampuan.

“Tabung ini yang dijana melalui sumbangan kerajaan negeri dan orang ramai telah memberi manfaat kepada 5,000 penerima dengan jumlah agihan sebanyak RM8 juta sepanjang tahun 2016.

“Beta juga berharap Tabarru’ dapat dikembangkan, Ia bukan sahaja bagi membantu golongan susah malah memberi peluang rakyat untuk bersedekah," titah baginda.

No comments:

Post a Comment