Translate

Monday, May 8, 2023

Pelita raya buah kekabu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SUASANA minggu terakhir Ramadan lalu di Kampung Alor Keladi, Jerteh, Besut, Terengganu begitu meriah dengan nyalaan deretan pelita raya yang menghiasi hampir semua rumah penduduk. 

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dari surau usai menunaikan solat sunat tarawih, hati Nur Ain Balqis Lukman kian berbunga menyaksikan pelbagai bentuk pelita raya hasil kreativiti jiran-jiran sekampungnya. 

Mata gadis sunti berusia 16 tahun tersebut bertambah buntang melihat kelainan pelita raya yang menghiasi laman rumah bapa saudaranya, Mohd. Zailani Mohd. Noor.

 “Berbeza dengan rumah-rumah lain, laman rumah bapa saudara saya itu cerah bercahaya dengan pelita raya diperbuat daripada buah kekabu muda. 

“Buat pertama kali saya mengetahui buah kekabu juga boleh diinovasi menjadi pelita raya. Ingatkan kegunaannya sekadar dalam pembuatan fabrik seperti tilam dan bantal,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini. 

Tambah mengejutkan Nur Ain Balqis apabila diberitahu bapa saudaranya, pelita kekabu bukanlah rekaan baharu tetapi tradisi lama masyarakat Jerteh yang kian dilupakan. 

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, Jerteh tersebut teruja dengan kesungguhan Mohd. Zailani mahu mengembalikan nostalgia bermain dengan pelita kekabu pada malam likur. 

Sementara itu, Mohd. Zailani, 48, berkata, hatinya tergerak untuk memasang semula pelita kekabu sejak bulan Ramadan tahun lalu. 

Dia yang bekerja kampung berkata, pelita raya diperbuat daripada buah kekabu muda sebenarnya popular di mukim Jerteh pada zaman dahulu sehinggalah tahun 1980-an. 

“Saya terkenang semula kenangan mengikut arwah datuk mencari buah kekabu muda bagi dijadikan pelita raya sewaktu masih kanak-kanak. 

“Mengikut cerita orang tua, rata-rata laman rumah di mukim Jerteh ini pada ketika itu akan dihiasi pelita buah kekabu muda pada penghujung Ramadan sempena malam tujuh likur,” ujarnya. 

Mohd. Zailani berkata, dia diberitahu, di luar bulan Ramadan, buah kekabu muda turut dijadikan jamung oleh penduduk setempat bagi menerangi jalan pada waktu malam. 

Tambah bapa kepada empat anak itu, pesawah juga menggunakan pelita daripada buah tersebut untuk menerangi kawasan sawah bagi membolehkan kerja-kerja memproses buah padi menjadi beras dapat diteruskan pada malam hari. 

“Sebelum tahun 1990-an, bekalan elektrik masih terhad, jadi pelita kekabu menjadi antara alternatif bagi menerangi malam. 

“Begitupun, nostalgia kemeriahan malam tujuh likur dihiasi dengan pelita kekabu itu masih terngiang-ngiang dalam fikiran sehingga kini,” katanya. 

Sehubungan itu, Mohd. Zailani mengambil inisiatif menghasilkan semula pelita tersebut bagi mengelakkannya terus pupus ditelan zaman begitu sahaja. 

Ujarnya, membuat pelita tersebut tidak memakan modal besar kerana buah kekabu masih boleh diperolehi dengan mudah dan percuma di sekitar kampungnya. 

“Buah kekabu yang sesuai dijadikan pelita ialah yang masih muda berusia anggaran empat bulan.

 “Kulitnya masih keras tetapi di dalamnya sudah mempunyai putik kapas agar boleh dijadikan sumbu,” jelasnya. 

Mohd. Zailani berkata, cara membuat pelita kekabu juga tidak sukar sekadar memotong pangkal buah tersebut sebelum diisi dengan minyak diesel lalu dibakar sumbunya. 

Ujarnya, nyalaan sebiji pelita kekabu boleh bertahan lebih sejam sehingga kandungan minyak dieselnya kehabisan. 

“Ia boleh digunakan semula dengan menuangkan tambahan minyak diesel sebagai bahan bakar. 

“Lazim nya sebiji pelita raya itu boleh digunakan berulang kali selama seminggu sehingga ketibaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya. 

Dia berharap usahanya itu dapat menyemarakkan semula budaya memasang pelita raya buah kekabu khususnya kepada penduduk mukim Jerteh. 

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Bukit Kenak, Wan Mohd. Najib Wan Mohd. Yuso memuji kesungguhan Mohd. Zailani untuk menghidupkan semula pelita kekabu. 

Beliau berkata, ia merupakan keunikan tradisi masyarakat Jerteh yang perlu dipertahankan selagi hayat dikandung badan.  

“Kami juga mahu perkenalkan pelita kekabu kepada masyarakat luar sebagai salah satu produk kebanggaan daerah Besut. Sehubungan itu, persembahan pelita kekabu menjadi salah satu segmen Pejabat Tanah dan Daerah Besut sewaktu menyertai pertandingan Pelita Raya Terengganu,” katanya

No comments:

Post a Comment