SETIU – Keriangan tujuh bersaudara mandi-manda sempena cuti umum Hari Keputeraan Sultan Terengganu berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas di Jeram Lata Changkah, di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu mengorbankan Nor Alia Farhana Mat Zaid, 19, yang berasal dari Felcra Seri Bandi, Kemaman.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah berkunjung rumah bapa saudaranya di Kampung Rahmat, Chalok, di sini.
“Dia bersama bapa saudaranya yang merupakan pesara polis dan lima sepupu perempuannya kemudiannya pergi berkelah di Jeram Lata Changkah.
“Tidak lama kemudian, mangsa dikatakan tiba-tiba lemas sebelum tenggelam ke dalam dasar sungai,” katanya, di sini hari ini.
Afandi berkata, pesara polis dan beberapa pengunjung lain cuba menyelamatkan Nor Alia Farhana dengan membawanya keluar dari dasar sungai itu.
Tambah beliau, gadis tersebut kemudiannya telah dibawa naik ke tebing sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pegawai perubatan bertugas mengesahkan kematiannya.
“Mayat mangsa yang merupakan anak ketiga dari enam beradik telah dibawa keluar dari kawasan perkelahan untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini pada pukul 14.15 petang.
“Hasil bedah siasat mengesahkan lemas sebagai punca kematian sebelum jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan pada pukul 6.30 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment