Translate

Wednesday, May 24, 2023

Anwar umum peruntukan tambahan RM50 juta mangsa banjir Terengganu

 Oleh MOHD AZLI ADLAN


KUALA NERUS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM50 juta kepada mangsa banjir di Terengganu pada musim tengkujuh lalu.

Beliau berkata, tambahan daripada RM50 juta telah diumumkan pada hujung tahun lalu sebagai tanda keprihatinan terhadap sebahagian mangsa banjir negeri ini yang masih belum menerima bantuan tersebut.

“Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri (Mokhtar) kata bantuan tidak cukup, jadi malam ini saya tambah lagi RM50 juta menjadikan peruntukan keseluruhan RM100 juta.

“Saya tahu berlaku kelewatan pengagihan bantuan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jadi saya mintak Nadma perhalusi segera,” katanya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani peringkat Terengganu.

Kosmo! pada 19 April lalu melaporkan ribuan mangsa banjir Besut merungut masih belum menerima bantuan banjir RM1,000 biarpun musibah itu sudah lebih lima bulan berlalu.

Bantuan banjir tersebut dijanjikan kerajaan negeri Terengganu pada Disember tahun lalu iaitu tambahan RM1,000 yang disalurkan kerajaan Persekutuan menerusi Nadma.

Ahmad Samsuri pada Rabu lalu mengakui kelewatan agihan bantuan tersebut disebabkan kerajaan negeri Terengganu masih belum menerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau royalti minyak.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang diterima berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan Persekutuan dan berjanji agihan bantuan banjir itu akan dilaksanakan segera. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment