Translate

Tuesday, May 30, 2023

TDM miliki dua loji janakuasa biogas bernilai RM50 juta

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kumpulan TDM Berhad (TDM) menerusi anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. memiliki dua loji janakuasa biogas yang mampu menghasilkan sejumlah 29,784,000 kilowatt per jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun. 

Pengerusi TDM, Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, projek loji janakuasa biogas terbabit terletak di kilang minyak kelapa sawit milik kumpulan terbabit di Kampung Padang Kubu di sini dan Sungai Tong, Setiu.

“Dua loji janakuasa biogas yang menelan belanja hampir RM50 juta itu telah beroperasi sepenuhnya  pada Jun 2020.

“Operasinya menggunakan sistem lagun tertutup yang mampu menjana 2 MegaWatt (MW) setiap jam ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya selepas menyaksikan majlis perasmian Loji Janakuasa Biogas TDM di Kampung Padang Kubu di sini hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan perasmian loji janakuasa biogas terbabit.

Tengku Farok Hussin berkata, TDM yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu telah bekerjasama dengan Concord Biotech Sdn. Bhd. bagi pembangunan loji janakuasa berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui berkenaan.

Beliau berkata, pembinaan loji janakuasa  biogas tersebut merupakan salah satu strategi TDM untuk mengoptimumkan pengurusan rawatan efluen kilang sawit sekali gus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Ia juga bertujuan mengurangkan jejak karbon bagi memacu pembangunan mampan. 

“Pelaksanaan inisiatif berdasarkan teknologi hijau ini akan dapat memastikan penjagaan alam sekitar yang mampan dan juga membantu mengukuhkan lagi sistem rawatan olahan kilang sawit sedia ada supaya tidak mencemarkan alam sekitar,” ujarnya.

Tengku Farok Hussin berkata, loji janakuasa biogas berkenaan juga menerima pengiktirafan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). -KOSMO!ONLINE

No comments:

Post a Comment