Translate

Thursday, May 25, 2023

UniSZA jalin kerjasama penyelidikan dengan universiti Jordan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalin kerjasama penyelidikan dengan sebuah institut pengajian tinggi Timur Tengah iaitu Jordan University of Science and Technology (JUST).

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr. Fadzli Adam berkata, kerjasama itu melibatkan penyelidikan dalam bidang biosumber dan teknologi makanan, farmasi, informatik dan komputeran, perniagaan dan pengurusan serta sains kesihatan.

“Projek penyelidikan bersama antara UniSZA dan JUST tersebut menerima geran padanan yang telah dipohon menerusi Education Malaysia Jordan (EMJ) sebelum ini.

“JUST merupakan institusi pengajian tinggi Jordan yang turut mempunyai pengkhususan sama dengan UniSZA iaitu bidang sains sosial, sains kesihatan dan sains komputer,” katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Induk Penyelidikan yang diadakan secara online di sini hari ini.

Fadzli mewakili UniSZA menandatangani perjanjian tersebut manakala JUST pula diwakili Naib Presidennya, Prof. Wael Tyfour.

Beliau berkata, kerjasama penyelidikan terbabit membolehkan kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut memanfaatkan kepakaran ahli akademik masing-masing bagi menangani cabaran saintifik yang kompleks.

“Ia memupuk pertukaran metodologi penyelidikan, amalan terbaik dan wacana intelektual yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi pengajian tinggi ini.

“Kita juga berharap kolaborasi penyelidikan ini dapat menjana idea inovatif, kemajuan dalam pengetahuan saintifik dan penyelesaian praktikal yang memenuhi keperluan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment