Translate

Monday, May 8, 2023

Angkat pelita raya sebagai produk pelancongan

KERAJAAN negeri Terengganu mengambil inisiatif menjadikan pesta pelita raya yang menjadi tradisi beberapa perkampungan di negeri ini pada malam tujuh likur sebagai salah satu produk pelancongan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah menganjurkan pertandingan Pelita Raya Terengganu sejak 2020. 

“Pertandingan itu menggabungkan keunikan pelbagai pelita raya yang terdapat di semua lapan daerah di negeri ini di satu tempat iaitu Kampung Budaya Terengganu. 

 “Ia membolehkan pengunjung termasuk pelancong merasai kemeriahan pesta pelita raya yang selama ini terhad dalam kalangan penduduk perkampungan tertentu sahaja,” katanya kepada K2. 

Jelas beliau, setiap wakil daerah mempamerkan kreativiti masing-masing dalam menyerlahkan lagi rekaan pelita raya mereka. 

Tambahnya, antara yang memiliki keunikan ialah pelita raya diperbuat daripada buah kekabu muda dari Besut. 

“Jika kita perhatikan, orang zaman dahulu menghasilkan pelita raya daripada bahan-bahan terpakai dan alami yang bukan saja mudah didapati, malah percuma. Contohnya, pelita kekabu hanya menggunakan buah kekabu muda. Pada zaman dahulu, pokok kekabu memang banyak di negeri ini,” katanya. 

Dalam pada itu, kata Ariffin, pertandingan Pelita Raya Terengganu dapat menarik kehadiran pelancong ke negeri ini walaupun pada bulan Ramadan. 

Beliau berkata, ia secara tidak langsung mendekatkan lagi masyarakat dengan Kampung Budaya Terengganu yang merupakan muzium hidup bagi budaya, kesenian, seni bina dan sosioekonomi masyarakat negeri ini.

No comments:

Post a Comment