Translate

Wednesday, May 31, 2023

Ramai tak sedar kawasan air terjun ragut banyak nyawa

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Air Terjun Lubuk Kain di Sungai Bagan, Kampung Syukur di sini dikenal pasti antara kawasan perkelahan berbahaya yang telah meragut ramai nyawa di negeri ini.

 Setakat ini, dilaporkan seramai lapan mangsa termasuk yang terbaharu dua pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman telah menjadi korban lemas di kawasan air terjun ber­kenaan.

 Air Terjun Lubuk Kain mula dikomersialkan dan dibuka bagi kunjungan orang ramai pada tahun 2016. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, sebahagian besar kawasan perkelahan itu sebenarnya selamat untuk aktiviti air kecuali di kawasan tingkat tiga air terjun terbabit. 

“Tingkat tiga Air Terjun Lubuk Kain amat bahaya kerana merupakan lubuk yang berpusar dan kedalamannya lebih 10 meter. 

 “Ia sebenarnya sukar diakses kerana pengunjung perlu mendaki denai yang agak tinggi selama kira-kira 15 minit sebelum tiba kawasan tingkat tiga air terjun berkenaan,” katanya. 

Baharudin berkata, penduduk tempatan juga sering mengingatkan pengunjung tentang bahaya kawasan itu, namun ada segelintir daripada mereka yang masih berdegil. 

Tambah beliau, pihak berkuasa tempatan turut mengambil inisiatif memasang papan tanda amaran di lokasi tersebut.

 “Sewaktu insiden pertama yang mengorbankan tiga nyawa pada 2016, penduduk kampung telah berikhtiar menunaikan solat hajat memohon agar musibah tidak berulang. 

“Bagaimanapun, masih ada pengunjung yang berdegil menyebabkan kejadian lemas terus berlaku bermula dengan dua kes membabitkan dua remaja berusia 16 tahun pada Ogos 2018,” katanya.

 Baharudin berkata, berikutan insiden terbaharu pada 12 Mei lalu, pihak berkuasa telah mengambil tindakan memasang pita amaran di lokasi kejadian sebagai melarang orang ramai mengunjunginya.

No comments:

Post a Comment