Translate

Wednesday, May 10, 2023

Maidam latih asnaf fakir miskin jadi petani cili fertigasi

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berhasrat untuk memperkenal program usahawan tani bagi melatih golongan asnaf fakir miskin agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan. 

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, golongan asnaf fakir miskin negeri ini bakal dilatih untuk menceburi penanaman cili secara fetigasi bagi meningkatkan pendapatan mereka.

 “Maidam menjalin kerjasama dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi menjayakan program perintis ini melibatkan peruntukan RM500,000. 

“Golongan asnaf fakir miskin yang akan disaring bakal diberi latihan penanaman, penjagaan, penuaian dan pemasaran cili,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Setakat ini, seramai 22,023 asnaf fakir miskin di Terengganu menerima bantuan zakat daripada Maidam, peningkatan berbanding 21,197 orang pada tahun lalu. 

Shaikh Harun berkata, buat permulaan, setiap peserta diberi tanggungjawab untuk menguruskan kebun cili seluas sekurang-kurangnya 1.62 hektar. 

Jelas beliau, usahawan tani dalam kalangan asnaf fakir miskin berkenaan akan dipantau pihaknya sehingga dilihat mampu berdikari menguruskan perniagaan agro itu. 

“Pada mulanya, mereka bekerja dengan Maidam dengan gaji bulanan RM1,500. Kita akan pantau kemajuan sehingga benar-benar mampu berdikari. 

“Ia bagi memastikan objektif program ini untuk membasmi kemiskinan tercapai. Kita sekadar memberi jalan, sikap dan mentaliti mereka penentu kejayaan,” katanya. 

Shaikh Harun berkata, program usahawan tani itu inisiatif Maidam bagi ‘memberi joran’ kepada asnaf fakir miskin berbanding ‘ikan’ semata-mata. 

Ujarnya, Maidam sedar pemberian bantuan kewangan hanya penyelesaian jangka pendek.

No comments:

Post a Comment